Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
KUALA LUMPUR – China kini boleh mengimport minyak sawit merah dari Malaysia selepas melaksanakan Standard Minyak Sawit Merah China pada 1 Mac lalu.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam berkata, sebelum ini minyak sawit merah tidak dibenarkan masuk ke China disebabkan spesifikasi warna merah dalam Standard Minyak Sawit China yang ditetapkan pada maksimum 3.0.
Menurutnya, kebanyakan minyak sawit merah dihasilkan di Malaysia dikesan 7.0 merah dan ke atas.
”Standard yang baharu diumumkan membenarkan import minyak sawit merah tanpa halangan yang berkuatkuasa mulai 1 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dr Ahmad Parveez berkata, standard yang ditetapkan oleh China itu hasil daripada pelbagai penglibatan pihak berkepentingan dan kerjasama dua hala yang luas antara MPOB dan pihak berkuasa China, yang membolehkan minyak sawit merah Malaysia dibawa masuk ke China.
Pada tahun 2014 dan 2015, MPOB menjalankan program intervensi dengan  Universiti Lanzhou untuk membantu mengatasi kekurangan vitamin A dalam  kalangan 2,000 kanak-kanak sekolah di Gansu
Wilayah ini telah menggunakan minyak sawit merah yang mengandungi karoten semula jadi, vitamin A dan antioksidan yang kuat.
Program ini berkesan mengurangkan masalah kekurangan vitamin A dalam kalangan kanak-kanak dari 21.6% hingga 6.1% setelah enam bulan.
“MPOB bangga dengan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat yang dilaksanakan bersama Persatuan Pemakanan China,”  tambah Ahmad Parveez.
Selain itu, MPOB melalui pejabat wilayahnya di Shanghai, China juga dikenal sebagai Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit MPOB (PORTSIM China) bersama dengan pemain industri tempatan dan institusi penyelidikan telah bersama-sama membangun makanan dan makanan haiwan yang diformulasikan dengan minyak sawit merah.
“Kami berharap pengeksport Malaysia dapat memanfaatkan peluang keemasan ini untuk menjual minyak minyak sawit merah berkhasiat dan premium ke China, pasaran pelbagai segmen dengan kepelbagaian paling banyak pengguna di dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette