Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 34 anggota penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi keselamatan lain dipercayai terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram serta jenayah komersial yang membabitkan kumpulan Geng Nicky.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata, pihaknya hanya akan mendedahkan butiran lengkap mengenainya selepas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melengkapkan kertas siasatan.

“Seramai 34 pegawai dan anggota penguatkuasa disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket ini, dia bergaul, dia jadi ahli, membantu dan terima suapan.

“Saya tak sebut agensi mana, tapi PDRM sudah semestinya salah satu daripadanya,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan ke atas pegawai dan anggota polis serta agensi terlibat secara terperinci serta menjejak pemindahan wang suapan daripada Geng Nicky sebelum mengambil tindakan tegas.

“Tengok nasib dia macam mana, satu persatu terungkap, saya nak tengok sejak bila dia ambil duit ini, bila dibayar duit ini, untuk tutup mulut ataupun tidak mengambil tindakan.

“Tengok sama ada sewaktu (zaman) saya ataupun sebelum saya. Kalau selepas saya bagi amaran ini, maknanya dia ambil wang tersebut pada 2018, 2019 dan 2020, maknanya memang dia tak cerdik.

“Dah tahu benda ini akan datang, dia buat lagi, tamak, akhirnya tumpas, saya ambil tindakan.

“Tiada lagi isu nak tutup kes sebagaimana yang saya sebutkan tadi, tidak apa yang nak dimalukan,” ujarnya.

Abdul Hamid juga akan memastikan mana-mana pegawai dan anggota PDRM yang terbabit dengan sindiket Geng Nicky tidak hanya dikenakan tindakan tatatertib sahaja.

“Saya tak boleh lagi ambil tindakan di bawah tatatertib saja, saya mahu mereka ini diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Mereka didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya.

Beliau akui tidak akan jemu memerangi kartel yang cuba menguasai PDRM bagi kepentingan pihak tertentu khususnya ahli perniagaan dan orang politik.

“Mungkin saya tak nampak 100 peratus, tapi selepas ini (penggantinya) dapat terus bersihkan PDRM daripada elemen-elemen ini, di mana penjenayah boleh masuk ke dalam PDRM yang mengaturkan tindakan ini, dapat perlindungan.

“Daripada senarai yang saya perolehi nama pegawai-pegawai yang terlibat ini tadi akan kita perhalusi, akan kita siasat, bank akaun dia macam mana pembayaran dibuat, selepas yakin bukti itu cukup, tangkap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette