Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bilangan kes positif baharu Covid-19 kembali mencecah empat angka hari ini dengan 1,133 kes direkodkan selepas mencatatkan 941 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 401 kes, diikuti Pulau Pinang (194 kes), Sarawak (153 kes) dan Johor (96 kes).

Ia diikuti Wilayah Persekutuan (53 kes), Perak dan Kelantan (masing-masing 44 kes), Sabah dan Kedah )masing-masing 41 kes), Negeri Sembilan (39 kes), Pahang (16 kes), Melaka (6 kes), Terengganu (2 kes), Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Perlis (masing-masing 1 kes).

Sejumlah 1,125 kes penularan tempatan direkodkan dengan 781 kes melibatkan warganegara dan 344 bukan warganegara dengan dengan lapan kes import.

Daripada jumlah kes import itu, sebanyak dua kes melibatkan warganegara manakala baki enam kes adalah bukan warganegara.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 14,199 kes aktif direkodkan, ujarnya.

Semalam buat pertama kalinya Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan jumlah kes tiga angka Covid-19 dengan 941 kes baharu pada hari ini selepas hampir empat bulan kes harian mencecah empat angka.

Jumlah kumulatif positif Covid-19 ialah 344,018 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 161 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM juga merekodkan lima kes kematian berkaitan Covid-19, iaitu melibatkan lima warganegara menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan wabak itu sebanyak 1,265 kes atau 0.37 peratus daripada kes yang dilaporkan setakat ini.

“Sebanyak 1,148 kes pulih juga dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya di negara ini sebanyak 328,554 kes atau 95.5 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette