Vaksin AstraZeneca didakwa menyebabkan berlaku pembekuan darah. Gambar hiasan

BERLIN – Jerman menggantung rutin penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca bagi penduduknya di bawah usia 60 tahun kerana risiko pembekuan darah.

Pengawas selia ubat-ubatan Jerman mendapati ada 31 kes pembekuan darah yang jarang berlaku dalam kalangan 2.7 juta penduduknya yang telah menerima vaksin.

Sebelum ini Kanada juga menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca bagi  penduduknya yang berusia di bawah 55 tahun.

Astrazeneca tetap mempertahankan bahawa pengawas selia antarabangsa mendapati vaksinnya menawarkan lebih faedah berbanding risiko lain.

Syarikat itu memaklumkan, pihaknya terus menganalisis pangkalan data untuk memahami “apakah kes-kes pembekuan darah yang berkaitan dengan trombositopenia ini terjadi.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Jerman untuk mengatasi segala persoalan mereka,” katanya.

Kedua-dua pengawal selia Kesatuan Eropah dan United Kingdom (UK) turut menyokong penggunaan vaksin setelah penggunaannya digantung di Eropah bulan ini.

Di UK, seorang jurucakap kerajaan berkata: Vaksin Oxford/AstraZeneca selamat, berkesan dan telah menyelamatkan ribuan nyawa di negara ini.

“Lebih daripada 30 juta orang telah menerima dos pertama vaksin dan kami berada di landasan yang tepat untuk menawarkan ubat kepada mereka yang berusia lebih 50-an pada 15 April dan semua orang dewasa pada akhir bulan Julai. – MalaysiaGazette