Lorong kanan di antara Senai Utara ke Kulai di Kilo Meter (KM) 21.85 hingga KM25.50 (Arah Utara) akan ditutup selama 3.5 bulan kepada semua kenderaan mulai 4 April ini pada jam 12 malam sehingga jam 12 malam 25 Julai akan datang

KUALA LUMPUR – Lorong kanan di antara Senai Utara ke Kulai di Kilometer (KM) 21.85 hingga KM25.50 (Arah Utara) akan ditutup selama 3.5 bulan.

Ia dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf penghadang jalan konkrit dilaksanakan dengan lancar di lorong berkenaan

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan berkata, penutupan akan berlaku mulai 4 April ini pada jam 12 malam sehingga jam 12 malam 25 Julai akan datang.

Namun, lorong kiri & kecemasan di KM21.85 hingga KM25.50 (Arah Utara) masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Sepanjang tempoh tersebut trafik di laluan terbabit akan dilencongkan ke lorong kiri dan lorong kecemasan bagi mengekalkan laluan dua lorong pada setiap masa.

Pelanggan yang menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang disediakan.

Pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut.

Dalam masa yang sama, pelanggan juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.  -MalaysiaGazette