Pihak bomba sedang memujuk mangsa agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.

GEORGE TOWN – Gara-gara tertekan dengan masalah keluarga seorang wanita nekad terjun di Kilometer 6.5, Jambatan Pulau Pinang menghala pusat bandar hari ini.

Bagaimanapun tindakan wanita berusia 38 tahun berjaya dihalang selepas orang awam yang melalui kawasan berkenaan menyelamatkannya.

Orang awam berjaya selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 1.37 tengah hari sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba kita dapati wanita yang cuba terjun ke dalam laut dari atas jambatan itu diselamatkan orang awam.

“Kita pujuk mangsa agar tidak lagi mengulangi perbuatan yang sama sebelum dia mendakwa tertekan dengan masalah keluarga menyebabkan dia cuba untuk terjun,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Fakharurazi, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Wanita berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.16 petang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette