Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara jelas menegaskan parti yang dipimpinnya itu bukan biasa-biasa.

Jelas beliau, PKR bukan parti kepada ahli politik yang tidak mahu menyuarakan kepentingan rakyat malah lebih kepada memperjuangkan nasib rakyat.

“Jika tak pernah merasai derita orang susah, jika tidak pernah turun ke bawah, kalau kita tidak menyuarakan kepentingan rakyat, jangan berani mengakui diri sebagai pejuang.

“PKR bukan parti politik biasa untuk merebut jawatan atau kawasan. Ia adalah parti yang mahu menggabungkan pemerkasaan budaya, negara, ekonomi, muzik dan perfileman,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo malam ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata, parti itu turut memerlukan suntikan golongan artis seperti Afdlin dan Altimet.

Malah beliau menambah parti boleh mendapat manfaat daripada penyertaan kedua-dua artis berkenaan.

“PKR bukan parti politik biasa untuk merebut jawatan atau kawasan. Ia memerlukan pemerkasan budaya, negara, ekonomi dan juga pemerkasan muzik serta perfileman.

“Muzik ini berakar pada budaya dan bukan plagiat budaya asing semata-mata. Ia ada keperluan tersendiri dalam mendidik masyarakat,” katanya lagi.

Sebelum Afdlin Shauki dan Altimet, pelakon dan pengarah popular, Datuk Hans Isaac turut diumumkan menyertai PKR secara rasmi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya mahu lihat Anwar jadi PM – Afdlin