Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperketatkan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua 30 lokasi tapak bazar di bandar raya Kuantan pada tahun ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, pematuhan itu bagi mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19 dan mencegah wujudnya kluster baharu membabitkan bazar Ramadan.

Sebagai langkah pencegahan, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan memasuki lokasi tapak bazar dan laluan masuk serta keluar hanya sahala seperti SOP aktiviti pasar malam.

MBK juga menekankan tahap kebersihan penyediaan dan hidangan makanan serta minuman oleh peniaga selain pematuhan SOP berkaitan penjarakan fizikal, pendaftaran MySejahtera, pemeriksaan suhu dan pemakaian pelitup muka,

“Sebanyak 1,000 petak jualan disediakan kepada peniaga bagi bazar Ramadhan tahun ini.

“Tidak dikenakan kenaikan lesen perniagaan pada Ramadan tahun ini iaitu RM180 bagi jualan makanan dan minuman, manakala RM300 untuk jualan pelbagai.

“Kita mahu peniaga mengamalkan kebersihan untuk memastikan makanan atau minuman yang dijual kepada orang ramai bersih dan selamat,” katanya selepas Program Prihatin MBK bersama Komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) , Nurulatiq Ahmad Bandi.

Menurut Hamdan, jika ada peniaga yang ingkar, pihaknya tidak teragak-agak menarik lesen dan tidak lagi membenarkan mereka berniaga. – MalaysiaGazette.