NC USIM sempurnakan hasil tuaian pertama rock melon dari Laman Prosumerisme Jabatan Keselamatan

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyemarakkan agenda Prosumerisme kepada warga kampus.

Ia bagi menyahut cabaran untuk menggerakkan projek pembudayaan prosumerisme dalam kalangan kakitangannya dengan tanaman rock melon fasa satu bermula Disember lalu.

Baru-baru ini tuaian hasil pertama rock melon telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Penyelaras Projek Tanaman Rock Melon Jabatan Keselamatan USIM, Rozaimi Kamaruddin berkata, sebanyak 400 biji rock melon dipetik pada fasa pertama dan ia sesuatu yang cukup berbaloi.

Hasil pertama rock melon

“Tanaman rock melon mengambil masa sekitar 75 hari dari hari pertama benih disemai untuk kita dapatkan saiz buah yang matang dengan kualiti isi dan rasanya yang manis apabila dipetik.

“Bagi hasil tuaian pertama ini telah diberikan secara percuma kepada kakitangan USIM dan kami sasarkan sebanyak 10,000 polibeg rock melon dapat ditanam di dalam kampus menjelang akhir tahun ini, ujarnya dalam kenyataan.

Tanaman rock melon ini menggunakan teknologi fertigasi terkini seperti penyemburan baja dan air secara automatik selain mendapat bimbingan dari usahawan alumni pertanian USIM dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

Selain rock melon, USIM turut menggerakkan agenda prosumerisme pertanian ini melalui tanaman nanas MD2 yang diterajui oleh Pusat Sukan USIM di dalam kawasan kampus.

YB Dato Dr Mansor Othman, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kagum melihat saiz nanas MD2 dalam lawatan kerja beliau ke USIM baru-baru ini

Bermula Februari lalu, Pusat Sukan telah mengusahakan secara kecil-kecilan tanaman nanas MD2 melalui 1,000 pokok dengan sumber kewangan awal yang merupakan sumbangan kakitangan USIM untuk menggerakkan projek ini.

Sementara itu, Pegawai Kanan Belia dan Sukan USIM, Nur Ekhmal Buhary selaku ketua projek tanaman itu berkata, objektif utama yang ingin dicapai melalui tanaman nanas MD2 ini ialah untuk meningkatkan pendapatan warga USIM terutamanya golongan B40 dalam meneruskan kelangsungan hidup pasca pandemik global.

“Selain itu, ia juga bagi meningkatkan bilangan syarikat milik warga USIM yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selaku pencipta kerja serta meningkatkan bilangan inkubator keusahawanan berasaskan prosumerisme di dalam USIM.

Penjagaan berkala dibuat oleh staf Pusat Sukan pada pokok nanas MD2

“Sehingga Mac, kami telah jalankan beberapa siri kursus Asas Pra Pengenalan Tanaman Projek Prosumer Nanas MD2 dengan penglibatan seramai 25 peserta,” ujarnya.

Sehubungan itu, bagi menggalakkan penglibatan jabatan-jabatan lain di USIM, Nur Ekhmal berkata, pihaknya telah mengagihkan Starter Kit Tanaman Nanas MD2 iaitu 50 sulur nanas beserta 10 beg tanah organik, polibeg dan baja kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) dan Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan (C4SS). – MalaysiaGazette