Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir (kiri) menyatakan sokongan kepada Undi18 selepas beberapa individu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung Protes Undi18 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa langkah melewatkan mengundi pada usia 18 tahun sengaja dilakukan kerajaan bagi menidakkan hak golongan muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau menyifatkan, tindakan menunda pelaksanaan undi pada usia tersebut adalah tidak adil.

“Semuanya telah direkodkan (sistem kerajaan), mereka (kerajaan) boleh akses rekod itu bila-bila masa, jadi mereka tahu di mana orang itu tinggal dan maklumat pengenalan diri sebagainya.

“Jika ada penundaan, maka itu disengajakan. Mereka berusaha untuk menghentikan hak golongan muda daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya dan itu tidak adil,” katanya.

Beliau membuat kejutan apabila hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini bagi menyatakan sokongan terhadap beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang dipanggil untuk diambil keterangan kerana terlibat dalam demonstrasi Undi18 di Parlimen pada Sabtu lepas.

Dr Mahathir berkata, Ahli-ahli Parlimen berkenaan tidak melakukan kesalahan, sebaliknya mereka hanya menggunakan hak demokrasi.

“Saya tidak tahu apa yang hendak disiasat. Kita hanya menggunakan hak kita, terutama ketika Parlimen tidak bersidang.

“Mereka tidak boleh bersuara di Parlimen, oleh itu, mereka mesti mencari jalan lain untuk menyalurkan pandangan mereka kepada kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang turut hadir untuk memberi keterangan berkata, tindakan kerajaan tidak melaksanakan Undi18 ketika ini meskipun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah dilihat sebagai tindakan mencabul demokrasi.

Katanya, golongan muda perlu bangkit mendaftar sebagai pengundi dan menentukan pemerintahan akan datang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita telah luluskan Undi18 (peringkat Parlimen) dan diharapkan ianya dapat dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Maszlee; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan bekas ketua Bersih 2.0 serta Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dipanggil kerana terlibat dalam demosntrasi Undi18 di pintu Parlimen pada Sabtu lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr. Mahathir, bersama dengan pembangkang, sebulat suara memilih untuk melaksanakan Undi18 pada 2019 dan Perlembagaan telah dipinda pada tahun yang sama.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat kira-kira 1.2 juta belia berusia 18 hingga 20 tahun di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berjanji Undi18 akan dilaksanakan pada Julai tahun ini.

Bagaimanapun SPR, dalam pengumumannya pada Februari lepas memaklumkan bahawa Undi 18 hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 kerana persiapan mereka terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette