Pemuda PAS Hulu Langat pada sidang media kerjasama PN dan MN Negeri Selangor dan Taklimat Pelancaran Jentera Pilihanraya (Youth 4 Green) di Hulu Langat. Foto FIKRI YAZID, 3 APRIL 2021.

HULU LANGAT – Pemuda Pas Selangor hari ini menyatakan kesediaan untuk bertanding di Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, pihaknya beriltizam untuk merampas kerusi itu daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

“Kita tengok dari sudut sejarah dulu Parlimen Hulu Langat, sejak PRU13 kita berjaya memberi perkhidmatan yang terbaik bila kita meletakkan calon mewakili Pas.

“Saya yakin sudah pasti rakyat di sini membuat perbandingan di waktu mandat diberikan pada waktu Pakatan Rakyat bersama untuk mentadbir negeri Selangor dan bagaimana Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, saya yakin rakyat cukup mengingati bagaimana perkhidmatan yang telah ditawarkan.

“Kita mengharapkan rakyat beri kepercayaan dan harapan tersebut, juga rakan parti politik, juga melihat bahawa Pas bersedia untuk berada di Hulu Langat,” katanya pada sidang media di Pejabat Pemuda Pas Hulu Langat, Nanding, Hulu Langat, hari ini.

Pas memenangi kerusi Parlimen Hulu Langat pada PRU13 menerusi Che Rosli Che Mat dengan mengalahkan calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Markiman Kobiran dengan majoriti sebanyak 1,745 undi.

Ditanya samada pendirian Pas iitu akan menyebabkan pertembungan tiga penjuru dengan BN dan Pakatan Harapan (PH), Hanafi menjelaskan, ia bergantung kepada perbincangan kerusi itu di peringkat Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN).

“Kami tampil untuk menyatakan kesungguhan dan kesediaan kerusi ini untuk dirampas oleh Pas, perundingan tentang mana-mana kerusi dan kita boleh berunding dan bersetuju dengan pandangan Tan Sri Noh Omar untuk kita merampas dan mendapatkan kerusi dan mandat rakyat pada PRU15 mestilah tidak ke arah tiga penjuru.

“Kami katanya kesungguhan dan komitmen Pemuda Pas Selangor bahawa Hulu Langat bersedia untuk kami bekerja untuk merampas kerusi ini daripada PH,” katanya.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli bercakap pada sidang media kerjasama PN dan MN Negeri Selangor dan Taklimat Pelancaran Jentera Pilihanraya (Youth 4 Green) di Hulu Langat. Foto FIKRI YAZID, 3 APRIL 2021.

Hanafi berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang berharap agar BN dan Pas tidak perlu bertembung pada PRU15 kelak.

Beliau berkata, kaedah yang digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa kawasan sebelum ini perlu diteruskan oleh BN dan Pas.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, PRU14 menyaksikan rakyat ketika itu mahukan perubahan dengan menolak UMNO dan BN.

Malah pihaknya berpendapat rakyat akan mula memberikan kepercayaan kepada Pas dengan melihat kepada sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pada waktu tersebut Pas mengambil sikap untuk tidak bersama dengan PH atau BN. Kita lihat sokongan rakyat terhadap PN khususnya selepas diberikan mandat kejatuhan PH mula tinggi dan data-data tersebut memberikan satu gambaran yang baik bahawasanya jumlah majoriti 26,000 pada PRU14 mampu untuk kembali semula ke Pas,” katanya lagi.

Pada PRU14 lalu, PH berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Langat apabila Hasanuddin Mohd Yunus daripada Amanah mendapat undi majoriti sebanyak 25,424 undi mengatasi calon daripada BN dan Pas. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.