Hasni Mohammad
ISKANDAR PUTERI – Satu aplikasi khas bagi pendaftaran vaksin Covid-19 akan dibangunkan kerajaan Johor untuk mereka yang berulang-alik dari Malaysia ke Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, aplikasi yang dikenali sebagai ‘Immu Plan Johor’ itu melibatkan pendaftaran pelajar dan juga penjaga mereka terlibat.
“Aplikasi ini sedang dibangunkan dan pada peringkat awal ini untuk mereka yang perlu bekerja dan juga pelajar termasuk penjaga mereka.
“Jumlah awal yang kita bincangkan dan kemuka permohonan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah melibatkan seramai 100,000 individu untuk pendaftaran vaksin ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas bermesyuarat bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di Iskandar Puteri hari ini.
Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan mereka yang tergolong dalam kalangan pekerja, pelajar dan penjaga juga menjadi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin.
Sementara itu, Khairy  yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengalu-alukan cadangan daripada kerajaan negeri bagi pembangunan aplikasi berkenaan.
Sebelum itu, beliau mengadakan mesyuarat tertutup bersama Menteri Besar Johor serta ketua agensi awam negeri berkenaan.
Katanya, senarai mereka yang berulang alik dari Singapura juga boleh diambil data untuk dimasukan ke dalam MySejahtera bagi memudahkan urusan temujanji vaksin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast