Kapal dagang yang ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor berjaya menahan sebuah lagi kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, dalam kenyataannya berkata, kapal tangki berkenaan ditahan pada kedudukan 12.6 batu nautika timur Tanjung Penawar, jam 2.45 petang.

Tangkapan itu adalah susulan kejayaan Op Jangkar Haram minggu lalu dan pihaknya meneruskan lagi operasi dengan memantau rapat aktiviti berlabuh tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki yang berdaftar di Torre Del Greco, Itali melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut.

“Master dan Chief Officer kapal berkenaan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tangkapan itu adalah tangkapan ke-19 sejak Op Jangkar Haram dilaksanakan sejak 24 Mac lalu dan jumlah keseluruhan penahanan tahun ini sahaja adalah sebanyak 37 kapal,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut beliau, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat jenayah dan kecemasan di perairan Johor dengan menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999.- MalaysiaGazette