Seorang pekerja ladang sedang mengumpul buah sawit.

KUALA LUMPUR, 3 April — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan berikutan jangkaan pengeluaran yang lebih tinggi.

“MSM tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran RM3,600 hingga RM3,800 minggu depan dengan kecenderungan menurun berikutan jangkaan peningkatan pengeluaran untuk terus mengimbangi harga,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Data yang dikeluarkan Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan pada Khamis menunjukkan pengeluaran minyak sawit pada Mac meningkat 39 peratus daripada bulan sebelumnya, dan penggiat pasaran telah mengunjurkan output akan terus meningkat pada minggu berikutnya.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran MSM Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi, menjejaki prestasi kukuh harga minyak kacang soya dan disokong eksport produk minyak sawit yang lebih kukuh pada Mac.

Menurut statistik yang dikeluarkan penyelidik kargo Intertek Testing Services pada Rabu, eksport produk minyak sawit Malaysia mencapai 1.27 juta tan pada bulan lepas, meningkat 26.82 peratus daripada 1.0 juta tan pada Februari.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2021 meningkat RM122 kepada RM4,147 satu tan, Mei 2021 naik RM83 kepada RM3,947 satu tan, Jun 2021 menokok RM45 kepada RM3,737 satu tan dan Julai 2021 meningkat RM10 kepada RM3,573 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 323,794 lot daripada 327,332 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 232,463 kontrak daripada 268,778 kontrak pada minggu terdahulu.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan melonjak RM110 kepada RM4,160 satu tan daripada RM4,050 satu tan pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette