Abdul Hamid Bador

SATU siasatan terperinci harus segera diadakan bagi menyiasat dakwaan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul  Hamid Bador baru-baru ini bahawa wujudnya kartel dalam
pasukan polis yang bersekongkol untuk menyingkirkannya. Beliau mendedahkan cita cita kartel tersebut untuk menguasai pasukan polis demi kepentingan peribadi mereka. Dakwaan ini perlu dilihat sebagai satu dakwaan serius yang harus disiasat dengan segera, teliti dan secara terbuka kerana ia melibatkan integriti dan nama baik pasukan polis dalam negara kita.

Isu ini juga melibatkan tahap kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis itu
sendiri. Polis merupakan sebuah pasukan penguatkuasa terpenting sekali dalam negara kita. Buat sekian lama, pasukan polis memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam dalam negara kita terpelihara. Kewujudan sebuah pasukan polis yang berintegriti tinggi serta bebas daripada dakwaan dan skandal serius adalah penting dalam negara kita. Oleh yang demikian, perlu satu siasatan menyeluruh
dilakukan terhadap segala dakwaan yang telah dibangkitkan serta sebarang isu berbangkit yang melibatkan pasukan polis.

Proses siasatan ini dipercayai dapat dilakukan dengan baik dan berkesan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI. Dengan adanya  RCI ini
segala dakwaan yang telah ditimbulkan boleh disiasat dengan teliti oleh pihak–pihak yang bebas dan tidak berkepentingan. Segala dakwaan yang ditimbulkan juga boleh disiasat dengan lebih baik oleh pakar–pakar yang memiliki kepakaran dan pengalaman yang bersesuaian dengan segala dakwaan dan isu berbangkit yang ingin disiasat kelak.

Apa yang paling penting melalui penubuhan RCI ini ia dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara ini. Di Malaysia penubuhan RCI ini termaktub dibawah Akta Suruhanjaya Siasatan
1950 [Akta 119]. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh memberi perkenan baginda terhadap penubuhan RCI jika dimohon daripada pihak kerajaan.

Segala hasil atau rumusan yang diperoleh daripada RCI ini boleh diberikan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut. Negara kita kini juga berada dalam persimpangan yang
kritikal. Sudah ada beberapa insiden yang boleh menjejaskan integriti dan imej negara. Misalnya, pencarian terhadap individu yang sudah lama aktif dalam sindiket jenayah komersial iaitu Dato Sri Nicky Liow Soon Hee. Nicky adalah seeorang ahli perniagaan yang dikehendaki kinioleh pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Dia dikehendaki oleh pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan [Akta 574] bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, sindiket itu adalah besar dan banyak melibatkan penipuan dan scam selain suspek juga adalah seorang yang
berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguatkuasa.

Pendedahan bahawa suspek adalah seorang yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguatkuasa ini bukan sahaja mengejutkan malah merisaukan ramai pihak dalam negara kita. Isu ini serta beberapa isu berbangkit yang lain seperti jenayah rasuah
dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam negara kita harus disiasat dengan segera. Kita tidak harus lupa, baru-baru ini pihak agensi antarabangsa Transparency
International (TI) telah mengumumkan kejatuhan ranking atau kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 yang telah dicatatkan pada tahun 2019.

Kita tidak boleh biarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara kita terus jatuh
dengan adanya pelbagai dakwaan dan isu tanpa siasatan menyeluruh dan tindakan susulan segera. Rakyat Malaysia berhak dapatkan sebuah sistem pentadbiran, pengurusan, dan penguatkuasaan yang bersih dan adil. Suka ataupun tidak, kepercayaan orang ramai kepada pasukan polis boleh terjejas akibat daripada isu isu berbangkit yang sedang berlaku.

Walaupun Ketua Polis Negara hari ini sedang melakukan tugas cemerlang dengan
mengetengahkan beberapa isu untuk pengetahuan umum, perjuangan menentang jenayah rasuah dan salah laku tidak harus dipikul beliau seorang sahaja. Sebagai rakyat biasa, kita juga ada tanggungjawab untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk memberi dan sokongan penuh kepada Ketua Polis Negara untuk membanteras individu
yang mahu mengancam integriti pasukan polis.

Pihak Menteri Dalam Negeri juga harus menyatakan sokongan penuhnya kepada pihak Ketua Polis Negara dalam usaha membenteras jenayah rasuah dan sebarang salah laku.
Fokus harus diberikan kini untuk menubuhkan RCI secepat yang mungkin bagi
menyiasat segala dakwaan dan isu yang telah dibangkitkan terhadap pasukan polis.

Bagi memantapkan sistem demokrasi dalam negara serta meningkatkan lagi tahap kepercayaan orang ramai terhadap semua institusi yang adaharus memastikan proses pelantikan Ketua Polis Negara dibawa ke Parlimen. Pada ketika ini proses lantikan Ketua Polis Negara adalah dibuat oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri dan atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 140 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas jawatan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan apa-apa jawatan lain dalam pasukan polis yang pada pendapatnya adalah serupa atau lebih tinggi tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidaklah boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis”.

Perkara 140 (5) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa
“Sebelum bertindak mengikut Fasal (4) atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula”. Pertimbangan
perlu diberikan bagi meminda proses pelantikan Ketua Polis Negara ini dengan membawa proses pelantikan Ketua Polis Negara melalui Parlimen.

Cadangan pembaharuan terhadap proses lantikan ini adalah satu bentuk proses semak dan imbang dan ianya diyakini berupaya menangkis sebarang ancaman kartel didalam pasukan polis pada masa–masa akan datang. Perubahan terhadap proses pelantikan ini juga dapat memberi satu semangat dan keyakinan kepada Ketua Polis Negara yang baru dilantik kelak untuk melakukan proses tambahbaik terhadap sistem, prosedur dan peraturan sedia ada didalam pasukan polis kerana dia telah diberi tanggungjawab dan mandat dari wakil–wakil rakyat di dalam Parlimen untuk menjalankan segala tugas dan
amanahnya.

Secara kesimpulannya, kerajaan harus segera memberi tumpuan dan fokus kepada cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan dan isu yang telah dibangkitkan terhadap pasukan polis kita serta membuat reformasi terhadap proses perlantikan Ketua Polis Negara bagi memastikan keselamatan negara kita tidak rapuh dan bagi mengukuhkan lagi sistem demokrasi dalam negara kita. Pasukan polis adalah tiang keselamatan negara dan harapan rakyat. Jika rakyat sudah tidak lagi menaruh
harapan kepada anggota keselamatan, apa lagi yang ada untuk rakyat negara ini?

Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Kuala Lumpur
&
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,
Singapura