Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menyampaikan bantuan kepada para pemandu teksi di pekarangan Mart Kempas hari ini.

JOHOR BAHRU –  Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse tidak menolak kemungkinan untuk bertanding Parlimen Tebrau pada PRU-15 selepas penyandangnya, Steven Choong Shiau Yoon melompat parti Februari lalu.

Jimmy Puah  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu berkata, perkara itu telah dicadangkan beberapa ahli PKR Johor.
Bagaimanapun,ia masih belum dimuktamadkan.
“Memang ada cadanganlah tapi saya kata kepada mereka itu bukan keputusan saya dan terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.
“Kalau parti rasa ada keperluan dan sesuai untuk letak saya pergi (bertanding) kerusi pengkhianat iaitu di Parlimen Tebrau, saya tak boleh tolak, saya akan ikut sahaja arahan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada para pemandu teksi di pekarangan Mart Kempas hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Shiau Yoon menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus meninggalkan PKR.
Terdahulu, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar mengisytiharkan keluar PKR pada 24 Februari tahun lalu dan mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 6 Ogos lalu.
PKR Johor memenangi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU-14 di Johor selain Shiau Yoon dan Dr Santhara.
Selain itu, ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full turut melompat parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan PN Johor pada 4 Mac tahun lalu.
Mengulas lanjut, Jimmy Puah berkata, menerusi lawatannya ke PKR Cabang Tebrau, parti itu masih mendapat 99 peratus sokongan akar umbi dan yakin PKR akan dapat mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-15.
Beliau mendakwa, tindakan Shiau Yoon tidak memberi kesan besar terhadap cabang berkenaan kerana hanya tiga atau empat ahli parti yang bertindak mengikut langkahnya untuk keluar parti.
Pihaknya juga sudah melawat PKR Cabang Segamat dan Sekijang baru-baru ini sekali gus melantik penyelaras khas di daerah tersebut dan calon-calon untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu akan diumum dalam masa terdekat.
Selain itu katanya, PKR Johor akan menambah jumlah bilangan kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRU-15 dan perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan bersama parti komponen PH Johor.
“PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) DAP di negeri ini akan berbincang pengagihan 18 kerusi DUN yang sebelum ini ditandingi Bersatu pada PRU-14. Kerusi ini akan dibahagi mengikut kesesuaian dan faktor tertentu termasuk PKR akan  menempatkan calonnya di pantai timur Johor,” katanya.- MalaysiaGazette