KUALA LUMPUR – Kegagalan Pas mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Langat pada PRU14 lepas bukan kerana jentera parti Islam itu lemah, sebaliknya permainan parti lawan memanipulasi isu termasuk penggunaan logo yang mengelirukan pengundi Hulu Langat.

Dewan Pemuda Pas Hulu Langat mendedahkan ramai pengundi di DUN Dusun Tua telah menyesali tindakan itu dan berasa tertipu dengan memangkah logo PKR namun yang sebenarnya digunakan untuk calon daripada DAP.

Susulan penipuan itu, Naib Ketuanya, Muhammad Hassan Aszeme menyeru semua pengundi di Parlimen Hulu Langat dapat menebus kembali kawasan itu dengan memangkah Pas pada PRU15 akan datang.

“Kami juga mendapat makluman bahawa kelibat dan bayang-bayang mantan ahli Parlimen Hulu Langat daripada Pas masih ditagih oleh penduduk Hulu Langat.

“Ini kerana Dr. Che Rosli Che Mat ikhlas bekerja untuk rakyat tanpa mengira masa dan tenaga telah menyantuni hampir keseluruhan penduduk sehingga ke pelusuk dan ceruk daerah Hulu Langat.

“Rekod baik perkhidmatan beliau dan keseluruhan jentera Pas Hulu Langat menjadi pengukur dan bukti tekad serta keiltizaman kami Pemuda Pas Hulu Langat untuk membantu rakyat di Hulu Langat sekiranya kembali diberi mandat.

“Cukup dan sedarlah bahawa ramai penduduk Hulu Langat ini masih tidak mengenali siapa wakil rakyat ketika ini kerana jarangnya melihat mereka turun bekerja untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pas memenangi kerusi Parlimen Hulu Langat pada PRU13 menerusi Che Rosli dengan mengalahkan calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Markiman Kobiran dengan majoriti sebanyak 1,745 undi.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Langat pada PRU14 apabila Hasanuddin Mohd Yunus daripada Amanah mendapat undi majoriti sebanyak 25,424 undi mengatasi calon daripada BN dan Pas.

Dalam pada itu, Pemuda Pas Hulu Langat menyambut penuh ketetapan Pemuda Pas Selangor yang meletakkan Hulu Langat adalah Parlimen sasaran untuk bertanding dan menang pada PRU15 akan datang.

“Kami percaya dengan pengisytiharan ini akan melegakan penduduk Hulu Langat yang telah penat dan muak dengan pentadbiran dan kerja ahli Parlimennya ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast