Seorang surirumah disamun ketika berada di dalam sebuah kedai runcit di Kg. Rinching Hilir, Bangi Lama, Selangor.

KAJANG – Malang tak berbau bagi seorang suri rumah yang singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli barang keperluan apabila menjadi mangsa ragut di Kampung Rinching Hilir, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, seorang suspek lelaki yang menghampiri mangsa, 22, dan bergelutnya sebelum rantai tangannya direntap.

Katanya, suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di tepi kedai tersebut.

“Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran bergelut dengan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Keksyen 392 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, dikenakan denda atau sebat, ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-6655811.

Terdahulu rakaman video berdurasi 40 saat berkaitan insiden itu tular dalam media sosial dan WhatsApp.

Rakaman itu memaparkan suspek bertopi keledar merah meragut mangsa yang sedang membeli barang di dalam kedai runcit tersebut. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan