Dr Khalid Yusoff

KUALA LUMPUR – Presiden yang juga Naib Canselor UCSI University, Prof. Datuk Dr  Khalid Yusoff, 66, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira jam 2 petang tadi.

Allahyarham merupakan mantan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2004 dan antara individu yang bertanggungjawab dalam merealisasikan kecemerlangan pusat perubatan universiti itu.

Allahyarham juga pernah dilantik Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sepanjang dua dekad berkhidmat di UKM dan UiTM, Allahyarham telah menjayakan penubuhan Pusat Jantung, Institut Biologi Molekul UKM, Institut Bioteknologi Molekul Perubatan UiTM dan Pusat Epidemiologi dan Penyelidikan Translational UKM.

Allahyarham berkahwin dengan Profesor Datin Dr Khatijah Mohd Yusoff.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng menyifatkan  Allahyarham seorang yang sentiasa melakar kejayaan dan pihaknya amat bersedih dengan kehilangan rakan yang banyak mengajarnya sebelum ini.

Allahyarham, katanya, telah menguruskan kerjasama dengan Harvard University yang memperkasakan pelajar perubatan UCSI dengan peluang mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia.

“Mari kita mengenang atas semua yang beliau perjuangkan dan semoga kita mencontohi komitmen beliau dalam mencapai kecemerlangan serta fokus yang tidak goyah dalam mencipta dunia yang lebih baik. Semoga kita sentiasa mengingat beliau dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham juga telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan UCSI sejak meneraju universiti itu pada 2013 dan hasilnya, UCSI menerima pelbagai pengiktirafan akademik.

Di bawah kepimpinannya, UCSI muncul sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut bagi QS World University Rankings 2019 dan 2020.

Malah pencapaian bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2018/2019, UCSI berjaya mencapai 5 bintang sebagai Universiti Matang (Mature University).

Sebagai tokoh berpengalaman dalam industri, beliau turut membawa UCSI ke persada dunia apabila berjaya mewujudkan kerjasama strategik dengan universiti dunia termasuk Harvard University.

Allahyarham mendapat latihan sebagai pakar kardiologi dengan memulakan karier perubatannya sebagai pelajar di University of Melbourne, Australia sebelum menjalani latihan di University of Newcastle-upon-Tyne, UK.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau membina karier sebagai ahli akademik yang menyokong penyelidikan malah hasil penyelidikannya diterbitkan oleh jurnal antarabangsa berimpak tinggi.

“Universiti merakamkan ucapan takziah atas kehilangan besar dalam akademik Malaysia. Moto beliau, “Go beyond; Be profound: Make a difference” akan terus subur pada kami di UCSI,” katanya. – MalaysiaGazette