Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu berundur dari jawatannya, bagaimanapun beliau perlu menamakan individu lain sebagai calon jawatan Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, langkah itu perlu diambil Ahmad Zahid memandangkan kedudukannya sebagai presiden kini dipersoalkan pelbagai pihak.

“Ahmad Zahid tak perlu undur, beliau boleh terus memegang jawatan Presiden kerana dia dipilih dan bagi menghadapi PRU15, beliau boleh mencadangkan satu nama lain yang difikirkan sesuai untuk kita diberikan mandat baharu dalam pilihan raya akan datang.

“Dia kena kemukakan nama lain, itu strategi yang dia boleh buat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Ahmad Tajuddin, kes yang disabitkan kepada Ahmad Zahid dilihat sebagai batu pemberat untuk beliau ditolak oleh mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN).

“Itu bergantung kepada keadaan dan kes dia (Ahmad Zahid).

“Kalau ikut keadaan isu semasa, memang tidak berapa sesuai dia nak jadi calon PM,” katanya.

Malah katanya, individu itu perlu sesuai untuk UMNO menghadapi PRU15.

Ahmad Tajuddin sebelum ini menggesa Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatan dan meninggalkan tanggungjawab sekiranya difikirkan tidak lagi mampu menguasai ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Malah pada Januari lalu, beberapa kain rentang dipasang mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.

Ahli Parlimen Bagan Datuk ini kini berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette