PKPD dilaksanakan di Kg. Bergosong, Tawau, Sabah.

KUALA LUMPUR – Tiga kampung di mukim Hulu Besut, Terengganu dan sebuah kampung di Nabawan, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

PKPD di mukim Hulu Besut membabitkan Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak, manakala di Nabawan membabitkan Kampung Murni C.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan kes Covid-19 di empat lokaliti terbabit.

“Secara kumulatif KKM sudah melaksanakan 58 ujian saringan di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak dan setakat ini, enam orang disahkan positif Covid-19.

“Begitu juga di Kampung Murni C, KKM sudah melaksanakan 17 ujian saringan dan enam kes positif COVID-19 turut direkodkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk di empat kampung terbabit dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di keempat-empat kampung terbabit selama dua minggu bermula esok hingga 20 April ini.

“Pelaksanaan PKPD ini, katanya untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk bagi memastikan tiada jangkitan dalam komuniti,” ujarnyanya. – MalaysiaGazette