Sebahagian daripada rampasan daripada sindiket judi online di Kampung Abdullah Hukum , Bangsar yang tumpas dalam serbuan semalam.

KUALA LUMPUR – Demi melepaskan diri, sekumpulan 39 individu termasuk 11 daripada wanita menipu kononnya mereka bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Bagaimanapun taktik mereka terbongkar apabila siasatan polis mendapati mereka rupa-rupanya bekerja sebagai operator menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman bersama-sama sepasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields dan Ibupejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis sekitar kawasan Jalan Bangsar, Kampung Haji Abdullah Hukum kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Dalam serbuan ini, pihak polis telah berjaya menahan 19 lelaki dan 11 wanita tempatan, tujuh lelaki warganegara Bangladesh dan dua lelaki warganegara Pakistan berusia 20 hingga 47 tahun.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, polis telah membuat rampasan sebanyak 36 buah komputer riba pelbagai jenama, empat buah monitor, tiga unit pemprosesan pusat dan lima telefon bimbit pelbagai jenama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, polis juga merampas tiga unit papan pemuka dan 22 unit tetikus, seunit TM wifi, seunit rakaman kamera litar tertutup, sebuah modem mikrofik, sebuah modem jenis Nokia dan sebuah kad akses rumah.

“Hasil siasatan kesemua individu yang ditahan tidak mengaku bekerja sebagai operator perjudian sebaliknya mereka mengaku bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dan tidak melibatkan sebarang transaksi wang.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan terhadap komputer dan telefon bimbit yang dirampas mendapati sememangnya wujud unsur perjudian online,” ujarnya.

Poliss telah menahan seramai 30 individu warga tempatan  termasuk seramai 11 wanita atas kesalahan menjalankan kegiatan perjudian online.

“Manakala sembilan lagi lelaki warga asing itu pula ditahan atas kesalahan bekerja sebagai operator perjudian online dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 5 hingga 9 April ini.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram.

Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah, orang ramai boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette