Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU- Pencemaran Sungai Skudai telah menjejaskan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail yang kini hanya mampu merawat 53 juta liter air sehari berbanding 227 juta liter air sehari sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pencemaran itu dibimbangi boleh menyebabkan sebahagian kawasan di sini menerima sumber air dari loji berkenaan terpaksa dibekalkan secara berjadual sekiranya berlaku kemarau.
Pencemaran yang berlaku bukan sahaja berpunca daripada sampah-sarap tetapi juga berpunca juga daripada buangan sisa industri dan pusat kumbahan.
“Disebabkan itu, kualiti air berada di kelas tiga dan sebenarnya pelbagai usaha bersepadu dijalankan bagi meningkatkan kualiti ke kelas dua.
“Ini sekali gus mampu membantu meningkatkan kapasiti LRA berkenaan serta mengurangkan kos rawatan air pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sayangi Sungai Skudai sempena Hari Air Sedunia peringkat Negeri Johor di Loji Air Skudai, Johor hari ini
Justeru, Hasni berharap pelbagai agensi mampu bekerjasama termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) serta Ranhill SAJ.
Selain itu, menurut beliau, syarikat air Ranhill turut memperuntuk sejumlah kewangan untuk membangunkan denai Sungai Skudai yang membabitkan sepanjang empat kilometer sebagai kawasan rekreasi menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK).
Sungai berkenaan adalah sumber air utama bagi LRA Sultan Ismail yang membekalkan air terawat kepada 163,250 pengguna di sekitar daerah Johor Bahru.
Difahamkan sungai terbabit adalah sumber air utama bagi LRA Sultan Ismail yang membekalkan air terawat kepada 163,250 pengguna di sekitar daerah Johor Bahru.- MalaysiaGazette