Seorang pengarah syarikat pembekalan elektronik, Ang Boon Chin, didakwa atas pertuduhan pilihan rasuah menceroboh tanah rizab sungai ketika dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Seorang pengarah sebuah syarikat pembekalan komponen elektronik didakwa pada hari kelahirannya di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada seorang penjawat awam di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Mac lalu.

Tertuduh, Ang Boon Chin, 60, yang memakai baju kemeja berwarna ungu mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, Boon Chin pada 23 Mac 2021, di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Selangor secara rasuah telah memberi suapan berbentuk wang tunai sejumlah RM10,000 kepada penolong pegawai Daerah dan Tanah Klang.

Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas syarikat Gallex Enterprise (M) Sdn Bhd yang sedang disiasat atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan di Lot 85096, Jalan Lengkok Selatan, Taman Perindustrian Pandamaran, Selangor di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum dibawah Seksyen dan Akta yang sama.

Akta ini memperuntukkan penjara tidak lebih 15 bulan di bawah Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahaan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Lo Mei Na meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak pernah melarikan diri, sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, manakala syarikatnya pula berada di negara ini.

Bagaimanapun Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Hakim turut menetapkan 15 April ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap Boon Chin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast