Vaksin Pfizer BioNtech yang diterbangkan untuk anggota ATM 1 Divisyen di Sarawak pagi hari ini oleh TUDM. Gambar Ihsan: TUDM

KUALA LUMPUR – Pesawat CN235 dari No. 1 Skn, PU Kuching berjaya menghantar sebanyak 274 vials vaksin jenis Comirnaty Pfizer BioNtech yang dikoordinasi oleh Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) di Sarawak hari ini.

Ia bertujuan bagi melaksanakan proses suntikan vaksin tersebut kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Sibu, Bintulu dan Miri.

Sebelum ini, No. 1 Skn telah melaksanakan penghantaran sebanyak 171 vials vaksin pada 12 Mac lalu bagi keperluan suntikan vaksin 1 Divisyen.

TUDM dalam kenyataan hari ini berkata, proses memuatnaikĀ  menggunakan vaccine carrier box ke dalam pesawat bermula seawal pukul 8.30 pagi oleh anak kapal pesawat CN235 dengan dibantu oleh tim perubatan tentera diketuai oleh Kapten Amirah Khan.

“Pesawat telah terbang pada pukul 9.10 pagi dengan penghantaran pertama ke Sibu, Bintulu serta Miri yang mengambil masa hampir lapan jam yang mana kesemua anak kapal selamat tiba semula di PU Kuching pada pukul 5 petang,” kata kenyataan yang sama.

Tambah TUDM, penerbangan berkenaan dikendalikan oleh Mejar Noorihtifazuddin Sabaludin, Mejar Emy Hazrie Norazmy serta Kapten Mohamad Hafizan Mos TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhammad Fikri Hanif Mohamad Hanafi dan Kapten Amirul Afiq Roslan dari TUDM selaku pembantu juruterbang.

Anak kapal lain yang turut terlibat adalah Kuartermaster Udara (AQM) iaitu FSjn Mohd Izwan bin Jalaluddin serta Sarjan U Ahsannunas Mohd Toib bersama seorang pramugari udara iaitu Sarjan U (W) Aimy Amira Ahmad.

“TUDM terus komited melaksanakan penugasan penghantaran vaksin sekiranya diperlukan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM dapat dilaksanakan dengan segera mengikut masa yang ditetapkan.

“Usaha ini bagi melestarikan kesejahteraan rakyat khususnya pada masa ini difokuskan kepada kumpulan barisan hadapan,” tegas TUDM.-MalaysiaGazette