Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan (dua kiri) bergambar bersama Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim (dua kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Penajaan antara Liga Bola Sepak Malaysia dan Pusat Pakaian Hari-Hari di Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Pusat Pakaian Hari Hari (PPHH) mencipta sejarah apabila julung kali menjadi penaja bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim 2020/2021 ini.

Syarikat peruncit fesyen berusia 30 tahun itu telah memeterai perjanjian penajaan bersama MFL di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Antara wakil MFL yang hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Pengarah PPHH, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim.

Ab Ghani berkata, PPHH yang telah menaja pasukan Liga Premier, Kelantan United FC pada musim ini menandatangani perjanjian penajaan setahun bersama MFL.

Malahan katanya, kedua-dua pihak juga akan berunding kontrak lanjutan pada September ini selepas kontrak penajaan semasa tamat nanti.

“Dengan pengumuman ini, PPHH akan menjadi rakan penaja bagi Kejohanan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup bagi musim 2021.

“MFL sentiasa mengalu-alukan kedatangan syarikat swasta untuk menaja Liga Malaysia sekali gus dapat memeriahkan lagi industri bola sepak tempatan khusus daripada aspek komersial.

“Kami optimis kehadiran PPHH yang ditubuhkan sejak 1990 dan kini memiliki 86 cawangan di seluruh negara akan membuka pintu kepada lebih banyak syarikat lain yang berminat menaja Liga Malaysia di masa akan datang,” katanya dalam sidang media di Kelana Jaya hari ini.

Tambah Ab Ghani, slogan ‘Hari-Hari’ di antara MFL dan PPHH berkongsi satu misi iaitu ‘marilah kita semua sentiasa menyokong produk tempatan dan bola sepak kita pada setiap hari’.

Menurutnya, MFL menyambut baik kesediaan PPHH yang menjadi salah satu rakan penaja Liga Malaysia dan yakin PPHH telah membuat keputusan tepat untuk datang mempromosi produk mereka dalam Liga Malaysia.

“Industri bola sepak negara cukup besar dan saya percaya PPHH akan menjadi satu penanda aras terbaik kepada syarikat-syarikat lain untuk tampil menaja Liga Malaysia di mana potensi komersial dalam industri ini cukup besar.

“Semangat dan langkah berani yang ditunjukkan oleh PPHH untuk bersama menyokong Liga Malaysia memberi petanda cukup baik ketika industri bola sepak terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Seperti yang kita lihat sambutan penonton bagi perlawanan Liga Super setakat 24 Mac lalu, lebih 18 juta penonton telah menyaksikan 30 perlawanan Liga Super sama ada menerusi siaran langsung di televisyen dan platform media sosial dan kini kita dapat merasai saingan Liga Malaysia semakin meriah dengan kebenaran kemasukan penonton ke stadium oleh kerajaan bermula 1 April 2021 di mana bakal memberikan lebih manfaat kepada penaja-penaja,” ujarnya.

Dalam pada itu Pengarah PPHH, Amilludin Latip berkata, penajaannya untuk Liga Malaysia 2021 sebagai tanda sokongan syarikatnya dalam menyemarakkan lagi aktiviti sukan khususnya bola sepak.

“PPHH juga melahirkan rasa syukur, walaupun dalam pandemik melanda dunia, produk kami masih mendapat sambutan dan kepercayaan yang baik daripada pelanggan-pelanggan.

“Justeru itu, di atas sokongan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan, PPHH sedang merancang untuk menambah lagi enam cawangan dalam tahun ini dan menjadikan keseluruhan 92 cawangan.

“Insya Allah, dengan tambahan cawangan PPHH, kita mengharapkan ramai lagi rakyat Malaysia dapat membeli pakaian-pakaian yang berkualiti dengan harga berpatutan.

“Siapa tahu satu hari ini diharap PPHH mampu mengeluarkan pakaian sukan untuk bola sepak selain berperanan sebagai merchandise untuk MFL jika segalanya berjalan dengan baik,” ujarnya.