Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) menurunkan tandatangan sebagai gimik Perasmian My.Halal.TV sempena 2022 Tahun Kesedaran Halal di Damansara Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajar berundur sekiranya rakaman audio tular mengaitkannya perbualannya dengan Presiden PKR benar-benar berlaku.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin, sekiranya benar perbualan tersebut tulen maka ia mencerminkan pendirian Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak selaras dengan ucapannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.

“Hari ini rakyat menuduh pemimpin UMNO ini dengan isu-isu tidak mahu sokong PN (Perikatan Nasional), nak cepatkan pilihan raya umum (PRU) serta isu nak selesaikan kes mahkamah Datuk Zahid dan itu merupakan tanggapan atau persepsi.

“Begitu juga kita kalah PRU lepas persepsi Datuk Najib dan jika benar video ini ada kebenarannya kita minta presiden parti letak jawatan, cuti sekejap sebab kalau persepsi ini tidak dapat ditangani, kita kalah pilihan raya.

“Apa yang penting adalah parti bukan presiden, timbalan atau macam saya tidak penting. Ini kerana UMNO sudah buat keputusan No Anwar, NO DAP tapi kalau terbukti Presiden UMNO ini berpakat dengan Anwar, kita tiada pilihan lain,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program My Halal TV di Damansara Jaya hari ini.

Awal hari ini, rakaman audio kononnya perbualan antara Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebar di media sosial dan turut dikongsi di aplikasi WhatsApp.

Susulan itu, Ahmad Zahid menafikannya dan mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman audio kononnya perbualan antara beliau dan Anwar.

Ahmad Zahid kecewa dan terkejut dengan penyebaran rakaman audio itu, justeru laporan polis yang dibuat membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang scheme of thing.

Mengulas lanjut, Zahidi yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, setelah tersebarnya dakwaan sedemikian maka ahli UMNO sendiri sudah semestinya mahu kepastian di sebalik dakwaan berkenaan.

“Kalau zaman kes Mohamad Taib dan Rahim Thamby Chik dakwa di mahkamah sahaja terus letak jawatan. Tapi ada orang dia tidak mahu letak jawatan, dia sayang parti dan sayang jawatan. Maka adakan pemilihan, kita buat pemilihan kerana itu yang sebaiknya.

“Dulu ada kes surat menyokong Anwar yang dibuat oleh Presiden, jadi rakyat akan tengok ini. Dalam ucapan tak nak sokong Anwar tapi belakang sokong Anwar, ini bukan UMNO. UMNO depan cakap macam ini, belakang pun pendirian sama.

“Kalau depan cakap lain lepas itu ada audio dengan Anwar apa semua itu, maka kalau nak sokong Anwar dia masuk parti Anwar, tak ada masalah tapi itu kalau benar,” ujarnya.

Tambah Zahidi, jika situasi sebaliknya berlaku iaitu rakaman audio tersebut merupakan sebuah rekaan atau fitnah, Presiden UMNO perlu dipertahankan.

“Jika tidak benar kita akan pertahankan Presiden UMNO, jika ada yang fitnah sebagainya.Tapi kita risau sebab sudah dua tiga kes, takut benda benar. Kita setuju jika adakan pemilihan parti.

“Lebih baik buat pemilihan kalau menang balik okay, kalau rakyat suka orang ada kes mahkamah maknanya terimalah. Kita nak kalau boleh pemimpin UMNO biarlah bersih, tiada kes mahkamah apa semua.

“Kita nak seperti itu dan rakyat juga yakin untuk pilih Perdana Menteri dari kalangan UMNO atau Timbalan Perdana Menteri dari UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Tak pernah ada lg presiden UMNo yg haprak camni. Najib pun tak serendah ni. Korang rasa dia mau ka buat pemilihan? Tobat lahum..

Comments are closed.