Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pihak media yang membuat liputan prosiding SRC International Sdn Bhd (SRC) dari bilik video tidak dapat mengikuti prosiding itu selama 20 minit berikutan masalah teknikal pada jam 9 pagi.

Berikutan itu, pihak pengurusan mahkamah terpaksa memindahkan petugas media dari Dewan Persidangan ke Dewan Banquet bagi mengikutan kes rayuan yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sementara menunggu masalah itu diselesaikan oleh pasukan teknologi maklumat (IT).

Pada masa sama, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan media boleh tersalah lapor apabila menghadap keadaan seperti itu.

Berikutan itu, Muhammad Shafee mencadangkan supaya wartawan dibenarkan memasuki bilik perbicaraan untuk mengikuti prosoding itu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, kualiti perkhidmatan internet yang tidak menentu itu adalah di luar jangkaan dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal keadaan tersebut.

“Mungkin boleh benarkan beberapa media duduk dalam prosiding ini, ada juga laporan media mengatakan saya terdiam selepas saya berada dengan Yang Arif dalam bilik ini selama hampir tujuh minit, saya kena turun balik terangkan kepada media pula lebih satu jam.

“Sebenarnya keadaan internet di mahkamah sangat teruk, kita perlu lakukan sesuatu. Jika di mahkamah Shah Alam, ‘total shutdown’ internet,” kata Muhammad Shafee.

Media kini kembali ditempatkan di Dewan Persidangan bagi mengikuti prosiding menerusi siaran video secara langsung setelah masalah teknikal itu dapat diatasi.

Hanya panel hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan, Najib serta beberapa kakitangan mahkamah dibenarkan berada di bilik perbicaraan.

Prosiding rayuan dijadualkan selama 12 hari dan akan berlangsung setiap hari kecuali Jumaat. – MalaysiaGazette