Azamuddin Akil. Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Azamuddin Akil ingin terus menjadi ‘senjata terakhir’ skuad Hijau Kuning selepas dianggap sebagai “supersub” yang berjaya membantu pasukan meraih kemenangan dalam aksi Liga Super 2021 setakat ini.

Meskipun hadir sebagai pemain gantian dalam tujuh perlawanan, Azamuddin atau lebih dikenali sebagai Alex berjaya membuktikan kehadirannya tidak sia-sia menerusi beberapa hantaran cantik yang dilakukan untuk membantu kemenangan pasukan termasuk ketika aksi berdepan Selangor FC, Selasa lalu.

Bakal berdepan Terengganu FC pada malam esok, pemain berpengalaman berusia 36 tahun ini tidak kisah sekiranya dia masih lagi diletakkan sebagai pemain simpanan kerana apa yang lebih penting, peluang untuk turun beraksi biarpun hanya beberapa minit perlu dimanfaatkan sepenuhnya seperti mana yang telah dilakukannya dalam beberapa aksi terdahulu.

“Saya tidak kisah jika tidak berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan setakat ini sebab walaupun turun sebagai pemain gantian, saya tetap akan beri 100 peratus untuk pastikan kami menang.

“Saya boleh anggap nasib saya baik apabila dapat buat hantaran yang tepat kepada rakan sepasukan untuk raih gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, dan azam saya adalah untuk terus beri impak positif kepada pasukan ini terutamanya pada saat-saat kritikal.

“Alhamdulillah, saya boleh katakan tahun ini akan menjadi tahun untuk saya dapat balik momentum sebab musim-musim lepas agak bergelut juga memandangkan saya berdepan kecederaan buku lali pada musim 2018 sebelum betul-betul ambil masa untuk cergas.

“Jadi, selagi diberi peluang, saya akan pastikan kami dapat fokus sebaiknya kerana memang sasaran pasukan untuk memastikan tiga mata dalam tangan pada malam esok,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak konsisten dengan empat kemenangan berturut-turut untuk berada di tangga kedua liga ketika ini manakala TFC pula di tangga keempat selepas gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terdahulu.

Hanya satu sahaja perlawanan Liga Super 2021 akan berlangsung pada malam esok, manakala empat perlawanan membabitkan Kuala Lumpur City FC menentang Sri Pahang FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu PJ City FC, UiTM FC melawan Melaka United FC dan Selangor FC yang bakal menerima kunjungan Perak FC akan berlangsung pada Sabtu.

Baki satu lagi perlawanan iaitu Penang FC menentang Sabah FC akan diadakan pada Ahad ini. – MalaysiaGazette