Logo Permodalan Nasional Berhad di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak 3.4% daripada RM312.0 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada RM322.6 bilion pada tahun 2020.

Unit Dalam Edaran (UIC) untuk semua 15 dana juga meningkat sebanyak 4.0% untuk mencapai 264 bilion unit dengan lebih daripada 200,000 pemegang akaun baharu sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan akaun sebanyak 14.5 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, PNB juga terus memberikan pulangan yang kompetitif menerusi pengagihan pendapatan dan bonus berjumlah RM11.1 bilion kepada pemegang unitnya pada tahun kewangan 2020.

Jumlah ini menjadikan pengagihan pendapatan terkumpul PNB sejak awal penubuhan sebanyak RM211.3 bilion, kenaikan 5.5% daripada RM200.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Tambah beliau, dana harga tetap (FP) PNB iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 2 untuk pemegang akaun Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia (ASM) mengatasi penanda aras masing-masing iaitu kadar Deposit Tetap 12-bulan Maybank.

Malah, ASB dan ASM telah memberikan pulangan positif secara konsisten walaupun FBM KLCI merekodkan prestasi negatif sepanjang lima daripada tujuh tahun yang lalu.

Dana harga berubah (VP) PNB juga turut mengekalkan kemampuannya dalam memberikan pulangan yang kompetitif seperti yang dibuktikan menerusi pengumuman jumlah pulangan sebanyak dua digit baru-baru ini untuk tiga dana harga berubahnya iaitu ASN Equity 3 (18.7%), ASN Imbang 2 (17.0%) dan ASN Sara 1 (10.8%) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021. – MalaysiaGazette