Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Atlet dan pegawai yang akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada pertengahan Julai ini akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Selasa depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seramai 265 atlet dan pegawai, termasuk beliau, akan menerima suntikan vaksin kumpulan pertama membabitkan kementerian itu.

“Kita akan menerima suntikan itu Selasa depan dan nama tersenarai dalam kumpulan pertama itu terdiri daripada mereka yang akan menyertai kejohanan utama khususnya Sukan Olimpik Tokyo yang akan diadakan pada pertengahan Julai nanti.

“Hari suntikan itu juga adalah bersempena 100 hari countdown berlangsungnya Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Reezal, pihaknya akan memberi keutamaan kepada atlet dan pegawai  dalam sukan yang mempunyai kepentingan untuk  menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa seterusnya.

“Bagi fasa seterusnya, kita akan melihat bidang sukan yang mempunyai kepentingan dan akan menyertai kejohanan antarabangsa yang boleh diberikan keutamaan divaksinkan awal khususnya pemain bola sepak atau dari sukan-sukan lain,” tambah beliau.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini selepas setahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette