Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) jangan terkejut dan terus menyalahkan pandemik Covid-19 semata-mata jika indikator ekonomi negara masih kurang memberangsangkan sedangkan negara ekonomi negara jiran elok berkembang dan terus meraih pelaburan berkualiti.

Ini kerana masyarakat global dan para pelabur melihat, mengamati dan menilai apa yang sedang berlaku di Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, ekonomi Malaysia mula menampak tanda-tanda kejatuhan dalam pembangunan ekonominya sejak pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Usaha yang yang sudah dirancang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mula dihentikan atau dipinda dengn drastik dan terburu-buru.

Regim cukai yang moden dan diakui global sebagai telus dimansuhkan bagi memgembalikan sistem percukaian yang menguntungkan taukeh-taukeh besar.

”Hal ini menyebabkan kewangan kerajaan berhadapan dengan cabaran ‘kekurangan hasil, peningkatan perbelanjaan’ sehingga menyebabkan hutang negara dengan kadar sangat pantas dan mendadak serta mengkerdilkan rekod pinjaman era BN.

”Pelaburan dalam projek infrastruktur rakyat berimpak tinggi ada yang dihentikan atas justifikasi yang meragukan. Bukan itu sahaja, apabila PH mencapatikan janji ‘reformasi’ untuk menambahbaik demokrasi, keyakinan yang masih ada menjadi semakin nipis dan menjadi risiko besar bagi mereka.

”Keadaan ini sekali gus membawa kepada aliran keluar dana asing yang selama ini melabur puluhan billion ringgit dan mencipta kekayaan (wealth) di dalam negara, penurunan pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara berbanding negara jiran, amaran dari agensi penarafan kredit global dan pengakhiranya penguncupan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Lebih mengecewakan, kata Asyraf apabila kerajaan yang ada kini seolah-olah meneruskan falsafah ekonomi PH, kemuncaknya apabila Proklamasi Darurat diisytiharkan dan Parlimen sebagai komponen utama Perlembagaan Persekutuan ‘dimandulkan’ dengan menggantung sidang Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong menitahkan ia boleh dilaksanakan.

Menurut beliau, lebih merisaukan apabila kuasa Parlimen untuk meluluskan perbelanjaan kerajaan turut digantung dan kini kerajaan boleh berbelanja tanpa had dan ‘semak-imbang’ oleh wakil yang dipilih rakyat.

Beliau menegaskan, Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi Parlimen, sistem ini mengangkat keulungan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara yang menentukan peranan dan tahap otoriti institusi di dalamnya baik di peringkat pusat dan negeri.

Melalui dokumen ulung inilah, Malaysia itu sendiri wujud dan diterima ramai sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Konsep ‘keulungan’ Perlembagaan itu sendiri menyerlahkan keupayaan Malaysia untuk meraih keyakinan dunia dan duduk sama tinggi, sama rendah dengan negara-negara berdaulat yang lain.

Dengan kata lain, dokumen Perlembagaan Persekutuan ini juga boleh dilihat sebagai akujanji kita kepada dunia bahawa Malaysia akan mengamalkan sistem demokrasi yang menjamin hak-hak politik individu dan seterusnya hak-hak lain seperti hak pemilikan aset dan lain-lain

Dalam konteks ekonomi pula, Malaysia selaku sebuah negara ekonomi membangun dan ekonomi perdagangan terbuka perlu diyakini oleh masyarakat antarabangsa sebagai ahli komuniti global yang stabil dan bertanggungjawab.

Sambil mempersoalkan demokrasi apa yang dilalui Malaysia ketika ini, Asyraf berkata, pelbagai persoalan menjadi penilaian risiko kepada para pelabur.

Soalnya, bagaimana mahu menyakini Malaysia jika undang-undang tertinggi pun ‘dimandulkan’.

”Apakah pelaburan kita akan dilindungi oleh undang-undang Malaysia? Apakah kita masih boleh membawa pulang keuntungan kita? Apakah sektor yang kerajaan hendak fokuskan?

”Jawapannya tidak dapat dipastikan kerana kerajaan yang ada kini tampak sibuk berpolitik dari memikirkan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette