Pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja persiapan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020, di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO dinasihatkan supaya mendengar suara akar umbi termasuk meneliti pandangan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa demi survival parti.

Ketua UMNO Bahagian Damansara, Datuk Ikhwan Salim Sujak berkata, parti itu tidak boleh menolak bulat-bulat pandangan ahli dan pimpinan dan bertindak melabelkan sesiapa yang mahukan perubahan sebagai anti-presiden.

“Pada saya UMNO mesti berubah dan sekarang macam-macam pandangan kita dengar tapi bila ada pandangan, dia dikira anti-Presiden.

“Tetapi sebenarnya bukan, ia cadangan akar umbi.Kita tidak habis-habis bincang untuk berkahwin tetapi kalau kita kuat dan baik, orang hendak kahwin dengan kita, kita tak perlu cari orang untuk berkahwin.

“Jadi pada saya pandangan-pandangan bernas yang mengubah UMNO itu lebih baik, sama-sama kita fikirkan. Janganlah kita bersikap stereotaip dengan apa sahaja dan setuju semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikhwan Salim merujuk kepada kenyataan Annuar yang mendedahkan ada empat keanehan yang melingkari Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020), baru-baru ini.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh mendakwa wujud pihak yang sudah mengaturkan usul-usul untuk dibawa ke perhimpunan tersebut.

Beliau mendakwa kebiasaannya usul dibawa secara bebas oleh bahagian-bahagian yang bersidang, namun didapati ada pihak yang mengatur usul-usul yang dibawa di mesyuarat peringkat bahagian.

“Kita dengar aduan-aduan yang datang daripada akar umbi di peringkat cawangan yang menyatakan mereka tidak begitu mengetahui secara mendalam (mengenai mesyuarat) kerana usul-usul didatangkan dari atas ke bawah.

“Ertinya ada semacam gerakan untuk menggesa beberapa bahagian tertentu untuk meluluskan usul-usul tertentu. Ini jarang berlaku!, katanya di Facebook pada Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Ikhwan Salim berkata, UMNO tidak mempunyai cara lain, selain segera merintis jalan perubahan.

Katanya, parti ini perlu seiring dengan perubahan dunia yang menjurus kepada zaman informasi tanpa sempadan.

“Kita kena ubah mengikut zaman, sekarang ini dunia digital, kita berucap bukan masyarakat nak dengar, mereka nak bertanya dan sudah siap dengan soalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.