Ramli MS.

KUALA LUMPUR- Jenama nama Datuk Ramli MS atau lebih popular dengan panggilan Tok Ram dalam dunia seni sudah cukup kukuh dan berkaliber yang membuat meastro muzik tanah air ini muncul dengan program realiti sendiri.

Namun bukan sekadar program realiti picisan, ia merupakan platform untuk mencari bakat-bakat baharu seawal usia 14 hingga 18 tahun.

Dikenali Panggung Tok Ram, bakat-bakat baharu ini akan dilatih dengan cukup teliti sebelum dilepaskan dengan ‘bergaya’ sebagai salah satu bakat baharu yang akan menyambung legasi muzik tanah air dengan ilmu penuh di dada.

Memegang prinsip era digital adalah era masa hadapan, Panggung Tok Ram yang mendapat tajaan penuh dari Farm Fresh ini mempunyai misi yang cukup besar.

Tok Ram bukan mahu mencari bakat yang berada di gelanggang seni setahun dua, namun mahu membiakkan anak seni yang sentiasa segar bertahun lamanya.

Panggung Tok Ram adalah sebuah platform untuk membiakkan pencinta seni iaitu penyanyi dan semua cabang seni. 

“Saya akan salurkan data selama 47 tahun kepada pelapis seawal usia 14 tahun. Apa yang ada dalam kepala saya, saya akan pindahkan kepada mereka. Mereka mungkin bertuah tetapi ini bukan kerja senang. 

“Kami mahukan pelapis yang mempunyai bakat yang dikurniakan tuhan dan juga ada minda yang cergas. Mereka akan mendapat sesuatu yang intelektual kerana saya akan mengajar. Saya mahu melatih otak mereka (train the brain)”, kata Tok Ram mengenai inisiatif yang diambilnya ini.

Ramli MS (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.

Tok Ram memberitau, Panggung Tok Ram tidak akan menjadi sebuah panggung yang klise. Sebaliknya beliau mengatakan mahu bertanggungjawab memperkasa budaya menyanyi selain mahu mengasah pengetahuan tatasusila seni.

“Saya bukan seorang pemimpi. Saya orang fizik. Ini bukan hanya harapan tapi melalui Panggung Tok Ram, saya mahu merekacipta seseorang menjadi artis,” katanya.

Sementara itu, Panggung Tok Ram akan memulakan pencarian bakat yang berpotensi untuk dicungkil kualiti mereka secara digital.

Pencarian akan memakan masa beberapa bulan sebelum Tok Ram dan Farm Fresh menilai faktor X yang diperlukan untuk program ini.

Meletakkan bakat nyanyian sebagai keutamaan dalam Panggung Tok Ram, namun tidak menolak sekiranya ada bakat yang dilihat mampu mengalir ke aliran lakonan.

Untuk peserta yang berminat, boleh menghantar demo nyanyian melalui whatsapp ke nombor talian 013- 6268839.

Jangan lepaskan peluang untuk menimba ilmu dan mendapatkan pengetahuan seni yang berkualiti daripada meastro Tok Ram. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.