Nafuzi Zain.

KUALA LUMPUR – Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui tugas yang cukup getir untuknya malam ini dalam memastikan pasukan dapat menghasilkan sesuatu bagi raih kemenangan di saat beliau kehilangan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan.

Namun katanya, penyerang import, David Da Silva yang kini sudah pulih daripada kecederaan diharap mampu untuk cipta impak sekiranya diturunkan dalam aksi di Stadium Darul Aman, Kedah.

“Memang saya boleh katakan sekarang tugas yang getir untuk kami sebab susah nak menang dalam beberapa aksi sebelum ini apabila berdepan satu kekalahan dan tiga seri.

“Jadi, mahu atau tidak kena cuba juga untuk menang pada malam esok walaupun kita sedar Kedah sedang dalam prestasi yang konsisten dan mana-mana peluang yang ada depan mata kena manfaatkan sepenuhnya”, jelasnya.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak konsisten dengan empat kemenangan berturut-turut untuk berada di tangga kedua liga ketika ini manakala TFC pula di tangga keempat selepas gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terdahulu.

Hanya satu sahaja perlawanan Liga Super 2021 akan berlangsung pada malam ini, manakala empat perlawanan membabitkan Kuala Lumpur City FC menentang Sri Pahang FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu PJ City FC, UiTM FC melawan Melaka United FC dan Selangor FC yang bakal menerima kunjungan Perak FC akan berlangsung pada Sabtu.

Baki satu lagi perlawanan iaitu Penang FC menentang Sabah FC akan diadakan pada Ahad. – MalaysiaGazette