Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak bimbang jika pemimpin-pemimpin UMNO 3.0 yang berniat mengambil alih parti ini hanya mahu UMNO menyokong parti lain menjadi perdana menteri.

Ini kerana, niat itu bertentangan dengan suara akar umbi yang enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menurutnya, kenapa pula pemimpin-pemimpin ini mahu sokong parti lain yang telah merampas puluhan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO termasuk di Sabah melalui lompatan katak dan menindas UMNO.

”Bahkan pernah membeku akaun dan pernah cuba membatalkan UMNO.

”Kenapa mereka mahu sokong parti yang ternyata gagal dalam pentadbiran ekonomi dan Covid negara?

”Kenapa mereka tetap sokong parti yang terus memberi alasan mengarut kenapa parlimen tidak boleh bersambung dan demokrasi tidak dapat dipulihkan?

”Adakah rancangan “scheme of things” untuk pecahkan UMNO sudah berjaya dan ramai telah disogok dengan jawatan-jawatan kerajaan?,” soal Najib bertalu-talu.

Menurut beliau, sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai presiden atau diganti dengan pemimpin lain secara mutlak ataupun secara sementara dalam masa terdekat, ia bukan isu paling penting.

Sebaliknya, beliau menyifatkan ia adalah proses demokrasi melalui pemilihan parti dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

”Akar umbi yang pilih, kita akur. Yang paling penting ialah sesiapa yang ingin mengambil alih pimpinan tertinggi parti perlu peka dan akur pada kehendak akar umbi.

Bekas perdana menteri itu mengingatkan, jika niat pemimpin-pemimpin UMNO 3.0 ini adalah untuk menentang kehendak dan suara akar umbi maka mereka akan dihukum dengan dashyat dalam pemilihan parti yang melibatkan 160,000 perwakilan.

Tegasnya, ahli-ahli UMNO bukan tak sedar perkara-perkara yang sebut di atas.

Malah, beliau membayangkan sejarah bakal berulang sebagaimana sebilangan pemimpin Pas kalah teruk dalam pemilihan parti itu pada tahun 2015 sebab mereka menentang suara akar umbi.

”Dan akhirnya mereka yang kalah telah keluar dan membawa lari kerusi dari Pas tubuh parti PAN. Inilah kebimbangan saya. pada parti tersayang saya,” ujar Najib. – MalaysiaGazette