Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Penyebaran audio perbualan mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan ahli parti berasa kurang selesa.

Justeru, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa UMNO  mengadakan pemilihan parti sekarang dan meredakan kebimbangan ahli.

Katanya, ramai orang dalam parti tidak selesa dengan perbualan telefon yang kononnya melibatkan Ahmad Zahid dengan Anwar.

“Saya fikir jawatan Datuk Seri (Ahmad) Zahid kini semakin tidak boleh dipertahankan lagi.

“MKT (Majlis Kerja Tertinggi) perlu berjumpa segera dan membenarkan pemilihan parti diadakan segera. Setahu saya, jawatan beliau (Ahmad Zahid) tidak boleh dipertahankan lagi.

“Cara terbaik untuk bergerak ke hadapan adalah dengan mengadakan pemilihan parti. Sekarang!” tegasnya sebagaimana lapor Astro Awani, hari ini.

Nama Ahmad Zahid menjadi tumpuan baru-baru ini, selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suaranya dengan Anwar tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi 4 minit 17 saat di akaun Facebook Insider Malaysia, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menerusi panggilan telefon.

Ahmad Zahid bagaimanapun, menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah menegaskan tiada sebarang perbualan dengan Anwar selepas PAU2020.

Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya percaya lebih banyak permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam reaksinya menerusi satu kenyataan media pada Rabu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Inilah kaedah terbaik ‘makhluk perosak’ yg sdg cuba utk memusnahkan parti secara tersusun.berbekalkan jawatan yg diberikan oleh musuh,mereka nekad mengharu birukan suasana bersama kluster berjawatan dan sdg menyiapkan sepasukan penentang utk membenamkan UMNO dgn bantuan…

Comments are closed.