Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong beramah mesra dengan penunggang-penunggang P-Hailing selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamtan Penunggang P-Hailing di West Garden, IoI City Mall Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Jumlah kematian penunggang motosikal di jalan raya juga agak membimbangkan selain penularan Covid-19 sejak sembilan bulan lepas, kata Menteri Pengangkutan.

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, seramai 2,575 kematian penunggang motosikal  dilaporkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu.

Menurutnya, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencatatkan rekod sebanyak 7,525 kemalangan jalan raya.

Daripada jumlah itu sahaja sebanyak 2,576 kes melibatkan penunggang motosikal sepanjang PKP selama sembilan bulan tahun 2020.

“Kita perlu ingat bahawa penunggang p-hailing juga merupakan penunggang motosikal yang turut terlibat dalam sebahagian jumlah statistik ini.

“Apa yang lebih menyedihkan adalah kemalangan meragut nyawa penunggang yang merupakan golongan muda pelapis negara serta merupakan bread winner kepada keluarga ketika ini. 

“Anak-anak kehilangan bapa atau ibu mereka sekaligus memberi kesan sosial serta ekonomi kepada waris keluarga.  Ini juga antara sebab kenapa kerajaan perlu mengambil beberapa langkah proaktif dalam mendidik dan mengubah sikap penunggang di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya P-Hailing di West Gardan IOI Mall di sini hari ini.

Kata Ka Siong lagi, kempen keselamatan p-hailing  lebih bersifat mendidik serta memberikan kesedaran mengenai penunggangan motorsikal dengan mematuhi peraturan jalan raya serta kurangkan risiko kemalangan.

“Kempen keselamatan ini berjalan untuk tempoh enam bulan akan datang antara April sehingga September 2021, antara yang telah dirancang termasuklah siri jelajah berkaitan pemandu p-hailing ini.

“Mesej-mesej keselamatan jalan raya juga akan disampaikan menerusi pop up messages melalui aplikasi yang diguna pakai oleh pengendali. Setiap kali penunggang p-hailing tekan butang terima pesanan, mesej serta peringatan keselamatan akan muncul.

“Kita juga akan adakan sesi taklimat mengenai pematuhan peraturan jalan raya dan aspek keselamatan akan disampaikan pihak berwajib dari masa ke semasa kepada para penunggang p-hailing sebelum pemandu memulakan tugas.

“Pihak MIROS juga akan tawar khidmat latihan penunggangan selamat kepada pengendali dan penunggang yang berminat. Latihan ini merangkumi keselamatan perjalanan, diagnostik Ubahlaku, pemeriksaan dan penyelengaraan serta penunggangan defensif,” ujarnya.

Dalam pada itu, MOT dan agensi berkaitan juga merancang serta melaksana aktiviti pemberian peringatan secara langsung kepada semua penunggang motorsikal semasa mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat dilengkapi kamera litar tertutup serta sistem pembesar suara.

Ka Siong turut memohon para penunggang p-hailing untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

“Dengan kadar caruman serendah RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun pelbagai faedah perlindungan disediakan bawah skim ini. Jadilah individu bertanggungjawab bukan kepada diri sendiri sahaja sebaliknya kepada ahli keluarga, anak-anak dan waris kita,” tegasnya.- MalaysiaGazette