Antara indivdiu yang ditahan dalam operasi DBKL dan polis di premis urut malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai lima orang wanita tukang urut yang disyaki pekerja seks dan empat orang lelaki gay terdiri daripada warganegara Vietnam, Indonesia, Pakistan ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara malam tadi.

Operasi Tindakan Khas Terhadap Premis Rumah Urut dijalankan di Kepong Baru, Taman Melati Utama Setapak dan Jalan Lombong Taman Miharja dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan (JPK) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Seorang anggota penguatkuasa DBKL memeriksa bilik di premis urut yang terlibat dalam serbuan malam tadi.

Dalam serbuan itu, dua warga tempatan yang bertugas sebagai penjaga premis turut tahan untuk tindakan.

DBKL berkata, serbuan dibuat selepas menerima aduan dan maklumat yang diterima lalu membuat siasatan serta risikan awal, sebelum mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di lokasi-lokasi berkenaan.

Hasil serbuan yang dijalankan terhadap premis-premis tersebut mendapati dua premis tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut.

Seorang kakitangan penguatkuasa DBKL memecahkan dinding premis urut ketika serbuan diadakan malam tadi.

Berikutan itu, tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan dua notis kompaun UUK 3(1), 1 notis kompauan UUK 20(1)(b) dan 1 notis kompauan UUK 20(1)(e) di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan penutupan serta merta 3 premis telah dibuat mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

DBKL turut meroboh dan memecah sekatan terhadap 25 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan menerusi Seksyen 79, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan tindakan sita ke atas 53 pelbagai peralatan turut dilakukan (kondom, minyak pelincir dan lain-lain peralatan).

Katanya, tindakan ini dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, bidang kuasa serta S.O.P DBKL dan pihak PDRM.- MalaysiaGazette