Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob (kanan) menunjukan sebilah parang dan wang tunai yang dirampas daripada empat sindiket ah long yang aktif di Pulau Pinang dan Perak di Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Empat sindiket ah long yang aktif melakukan ugutan termasuk simbah cat di kediaman peminjam berjaya dilumpuhkan dalam 12 serbuan di Pulau Pinang dan Perak pada Khamis lalu.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (JSJK) dengan JSJK Pulau Pinang selama empat jam bermula jam 6 pagi itu membawa kepada tangkapan 29 suspek termasuk seorang wanita.

Kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun itu membabitkan empat sindiket yang dikenali sebagai Geng Ah Boy, Ah Son, Alvin dan Ah How.

Zainuddin (tengah) mengadakan sidang akhabr berhubung tangkapan 29 ah long di IPD SPT, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, hasil siasatan mendapati kesemua sindiket itu aktif sejak pertengahan tahun 2017 dengan menawarkan pinjaman wang haram menerusi media sosial.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menggunakan nama syarikat wang berlesen yang sah untuk mengiklankan tawaran pinjaman.

“Mereka menggunakan Facebook, WhatsApp, WeChat untuk menjerat peminjam yang terdiri daripada golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta.

Zainuddin (dua dari kanan) menunjukkan barang termasuk wang tunai yang dirampas daripada empat sindiket ah long di Pulau Pinang dan Perak.

“Sindiket akan mengenakan faedah pinjaman sebanyak 10 hingga 15 peratus dan sekiranya peminjam gagal melunaskan bayaran mereka akan membuat ugutan dengan simbah cat serta jenayah kekerasa sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

“Selain itu, ada peminjam yang terpaksa hidup secara pindah-randah kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Willey Richard dan Ketua Polis SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, Geng Ah How paling ramai diberkas iaitu seramai 19 suspek termasuk ketuanya.

Jelas beliau, sindiket itu menyewa tiga rumah teres untuk dijadikan pejabat serta asrama pekerja manakala sindiket yang lain kita berkas secara berasingan di kediaman masing-masing.

“Secara keseluruhan dalam 12 serbuan itu kita merampas 68 buah telefon bimbit, 27 kad mesin teler automatik (ATM), 119 keping cek pelbagai bank, wang tunai RM98,718 serta pelbagai dokumen mengandungi nama dan rekod bayaran peminjam.

“Turut dirampas 10 buah kenderaan mewah, jam tangan, pelbagai barangan kemas dan sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menakutkan peminjam.

“Secara keseluruhan barang yang kita rampas berjumlah RM1.8 juta, selain itu polis turut membekukan 52 akaun bank milik empat sindiket berjumlah RM6 juta,” ujar Zainuddin.

Kesemua tangkapan direman bagi bantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 29 B(1) akta yang sama, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta yang sama. – MalaysiaGazette