Temubual bersama orang awam, Afni Mat Jali, 39 mengenai pembukaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Dua hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan.

Tahun ini agak berbeza sedikit berbanding tahun lalu, apabila kerajaan membenarkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidifitri. 

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu kota hari ini mendapati, kebanyakan warga kota sudah tidak sabar untuk mengunjungi bazar Ramadan.

Bagi Afni Mat Jali, 39 tahun, perasaan menyambut Ramadan tanpa bazar seperti tahun lalu dirasakannya seperti tidak lengkap.

Justeru beliau sangat teruja apabila kerajaan mengumumkan bazar Ramadan dibenarkan dibuka tahun ini.

“Sebenarnya kita memang masih prihatin tentang situasi Covid-19 tetapi bila ada Bazar Ramadan perasaan itu lebih lagi dalam bulan puasa ini sebab dah lama tidak ada.

“Jadi teruja sangat. Lain sikit perasaan tahun ini sambut bulan Ramadan,” katanya yang sering mencari kuih Tepung Pelita di bazar Ramadan sebelum ini.

Temubual bersama orang awam, Nasrol Mohd Ramli, 43 mengenai pembukaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

Bagi Nasrol Mohd Ramli, 43, apa yang penting menerusi kebenaran pembukaan bazar Ramadan tahun ini adalah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan pengunjung.

Masyarakat ujarnya, perlu sentiasa waspada dalam kegembiraan menyambut Ramadan kali ini kerana kes harian yang dijangkiti Covid-19 masih melebihi 1,000 kes.

“Pada pendapat saya Bazar Ramadan tahun ini rasa teruja tapi pengunjung  perlu jaga SOP itu paling penting sebab kes sekarang ini masih tinggi lagi jadi saya harap semua pelanggan jaga SOP,” katanya.

Temubual bersama orang awam, Azmil Ismail, 32 mengenai pembukaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

Begitu juga dengan Azmil Ismail. Katanya setidak-tidaknya kebenaran pembukaan Bazar Ramadan tahun ini secara tidak langsung dapat membantu peniaga untuk mencari pendapatan selepas setahun tidak dapat berniaga pada 2020 akibat pandemik.

“Boleh saja Bazar Ramadan ini sebab kalau ikut SOP tidak ada masalah, sebab Bazaar Ramadan ini penting sebenarnya sebab orang tidak sempat masak kan kadang-kadang jadi boleh singgah Bazaar Ramadan.

“Terpulang sebab ada yang tiap tahun berniaga di Bazaar Ramadan, tahun lepas kan tidak boleh jadi tahun ini boleh bantu mereka (peniaga),” tambahnya.

mayat ejen insuran itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring pada jam 12.06 tengah malam sebelum memaklumkan pada pihak berkuasa.

Temubual bersama orang awam, Faridah Samad, 36 mengenai pembukaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

Bagi ibu bekerjaya seperti Faridah Samad,36  Bazar Ramadan sudah tentu menjadi destinasinya setiap hari sebelum ini untuk membeli juadah berbuka puasa.

Sehubungan itu,  beliau adalah orang yang paling gembira apabila mendapat tahu kerajaan membenarkan pembukaannya baru-baru ini.

Bagaimanapun Faridah membuat perancangan memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung ke bazar Ramadan bagi mengelakkan bersesak-sesak dengan ramai orang.

“Teruja, salah satu yang kena ada dalam Bazar Ramadan. Aspek takut atau tidak mestilah kita takut tapi kena pandai tengok masa jangan ramai orang,” jelasnya.

Temubual bersama orang awam, Mahusin Abdullah, 56 mengenai pembukaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

Berbeza dengan Mahusin Abdullah, 56. Bazar Ramadan bukanlah destinasi setiap tahun untuknya kerana beliau lebih gemar makan masakan isteri.

Namun ujarnya, tidak dinafikan sudah tentu pembukaan bazar tahun ini menggembirakan umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Dalam kebenaran yang diberikan kerajaan baru-baru ini, mana-mana gerai yang beroperasi di Bazar Ramadan dan Aidilfitri diminta mematuhi SOP.

Jika sebaliknya, premis akan diarah tutup, itu antara syarat yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan kerajaan membenarkan kedua-dua bazar itu beroperasi tahun ini, iaitu antara jam 3 petang hingga 8 malam bagi Bazar Ramadan dan 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi Bazar Aidilfitri.

Selain itu, penganjur perlu memastikan ada kawalan keluar masuk pelanggan dengan penjarakan satu meter dan menanda tempat beratur, dan peniaga serta pengunjung wajib memakai pelitup muka ketika berada di bazar.

Cecair pembasmi kuman pula perlu disediakan di pintu masuk dan keluar bazar, manakala penganjur perlu menyediakan kod QR MySejahtera atau buku pendaftaran kehadiran manual. Pengunjung wajib menggunakan MySejahtera atau buku berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast