OKU
Gambar hiasan

ISU pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini terus menjadi polemik yang
berterusan. Jabatan Perangkaan merekodkan pengangguran di negara ini mencecah
777,500 orang, manakala statistik www.jobsmalaysia.gov menunjukkan 174,327
pemohon pekerjaan adalah dalam kalangan siswazah. Walaupun isu ini
diperdebatkan secara lebih serius ketika pandemik Covid-19 kerana kadar
pengangguran semakin tinggi, namun pada hakikatnya hampir setiap tahun anggota
masyarakat akan bercakap tentang soal ini.

Cakap-cakap tentang gaji yang rendah serta kerja yang tidak sepadan dengan
kelayakan sebagai graduan terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan
anggota masyarakat sepanjang masa. Hal ini demikian kerana bilangan graduan
yang dihasilkan oleh IPT terus bertambah pada setiap tahun, namun jumlah
pekerjaan semakin mengecil dan membimbangkan.

Secara prinsipnya, banyak faktor yang mempengaruhi isu pengangguran ini seperti
krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang, di samping
lambakan graduan di pasaran. Jangan lupa kita memiliki 20 universiti awam dan
lebih 400 universiti swasta.

Dalam soal ini apa yang menarik perhatian kita ialah teori dan tuduhan bahawa
kadar pengangguran dalam kalangan graduan tinggi kerana graduan dikatakan
terlalu memilih pekerjaan dan meminta bayaran gaji permulaan yang tinggi. Tidak
dapat dinafikan mungkin ada segelintir daripada graduan memiliki sikap seperti itu,
tetapi tindakan anggota masyarakat kita memukul rata dan mendakwa semua yang
menganggur itu memilih pekerjaan adalah sangat tidak wajar, adil dan rasional.

Pada hakikatnya, majoriti graduan kita memiliki semangat dan daya tahan yang
kental sekali gus sanggup melakukan apa jua pekerjaan asalkan boleh memperoleh pengalaman serta pendapatan yang halal dan mencukupi untuk menampung
keperluan diri, keluarga serta kelangsungan hidup.

Buktinya, ramai yang sudah mula menceburi pelbagai jenis pekerjaan sambilan
sementara mendapat peluang yang lebih sepadan. Misalnya, sudah ada yang berani
memulakan bisnes secara kecil-kecilan walaupun tiada modal yang besar serta
memiliki pengalaman, ini termasuklah terlibat dalam aktiviti perniagaan dalam talian
serta menjadi pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

Malah ada saja yang sanggup membantu perniagaan keluarga seperti jual kuih dan nasi lemak. Jelas sekali graduan seperti ini tidak memilih kerja apatah lagi malu untuk melakukan kerja yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka. Jadi tidak wajar dilemparkan tohmahan bahawa semua graduan yang menganggur terlalu memilih pekerjaan.

Hakikatnya punca utama graduan menganggur adalah kerana jumlah peluang
pekerjaan yang sesuai dengan mereka sangat terhad dan semakin mengecil
terutamanya sejak serangan pandemik. Ironinya situasi ini adalah di luar kawalan
mereka, jadi janganlah meletakkan kesalahan di bahu graduan secara total.

Pada ketika ini, graduan juga jelas sekali tidak terlalu memberi keutamaan kepada
jumlah gaji yang ditawarkan. Walaupun secara zahirnya mereka mengharapkan gaji
yang setimpal dengan kelayakan namun mereka sedar situasi semasa tidak begitu
menggalakkan dan memihak kepada harapan mereka. Justeru mereka sanggup
menerima gaji yang kecil dengan harapan janji ada kerja serta boleh dijadikan
platform untuk mengutip pengalaman. Dalam konteks ini, ramai juga yang sudah
bersedia melakukan lebih dari satu pekerjaan untuk menampung keperluan hidup
dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

Malah bagi penulis, tiada salahnya graduan mengharapkan gaji yang lebih sepadan
dengan kelayakan diploma atau ijazah yang mereka miliki. Hal ini kerana, di samping
kos sara hidup yang semakin tinggi, mereka memerlukan pendapatan yang
mencukupi untuk membayar balik hutang pinjaman pendidikan serta mengurangkan
beban keluarga di kampung.

Justeru, hentikanlah tohmahan dan dakwaan bahawa graduan terlalu memilih
pekerjaan dan meminta gaji yang tinggi, sebaliknya kita perlu membantu mencipta
lebih banyak peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka.
Hakikatnya, mereka ini adalah modal insan masa hadapan negara yang perlu
disediakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk menimba pengalaman dan
membuktikan kemampuan sekali gus memikul tanggungjawab untuk meneruskan
kecemerlangan negara.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

 

1 Komen

  1. Korporat tak nak graduan tak tahu cakap Mandarin, kan? Padahnya dasar ekonomi apartheid aka Pak Pandir buat DEB 30% ekonomi untuk majority pribumi Melayu supaya minority bukan Melayu meraih 70% ekonomi sekian lama.

Comments are closed.