Malaysia dan Ukraine memeterai perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia dan Ukraine telah memeterai perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) dalam usaha memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam bidang koreksional.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri , Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, perjanjian tersebut sangat bermanfaat dan menjelaskan lagi inisiatif serta hala tuju kedua-dua negara.

“Dengan Perjanjian ini, hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Ukraine yang terjalin sejak 29 tahun dahulu bermula 3 Mac 1992 semakin kukuh,” katanya.

Pada majlis pemeteraian perjanjian itu, Wan Ahmad Dahlan mewakili kerajaan Malaysia manakala Ukraine diwakili Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo.

Cadangan pelaksanaan pemindahan antarabangsa banduan dibentangkan Menteri Dalam Negeri (KDN) pada mesyuarat jemaah menteri pada 24 Oktober 2008 dan dipersetujui supaya banduan warga asing dipindahkan ke negara asal bagi menghabiskan tempoh tahanan mereka dan warga Malaysia yang menjalani hukuman penjara di negara asing dibawa balik bagi menyempurnakan tempoh tahanan di Malaysia.

Menurut Wan Ahmad Dahlan, KDN turut menjadi agensi peneraju  dalam perkara itu untuk mengkaji dan menyediakan undang-undang, protokol serta mekanisme pelaksanaan pemindahan banduan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia.

Tambah beliau, sehingga tahun tahun lalu, kerajaan Malaysia telah menghantar model triti Malaysia bersama Akta 754 kepada Thailand, Vietnam, India, Filipina, China dan Brunei bagi membuat rundingan pelaksanaan program pemindahan antarabangsa banduan.

“Selain itu, Malaysia juga telah menerima permohonan mengadakan rundingan dari 10 buah negara asing iaitu Iran, Romania, Sri Lanka, Tajikistan, Bulgaria, Bolivia, Argentina, Peru, Pakistan dan Hong Kong,” ujarnya.

Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 [Akta 754] berkuat kuasa pada 21 Februari 2013 dan Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000 dipinda untuk membolehkan program pemindahan antarabangsa banduan ini dapat dilaksanakan.

Model Triti ITOP Malaysia iaitu suatu pernyataan berkenaan Perjanjian di antara negara-negara telah dimuktamadkan pada 27 April 2016.

“Menerusi Program ITOP, banduan diberi peluang menjalani hukuman dalam persekitaran, adat resam dan budaya negara sendiri.

“Malahan kaedah itu juga akan membantu proses pemulihan masyarakat, meringankan beban ahli keluarga (kewangan, emosi dan lain-lain), masyarakat setempat terlibat sama dalam proses pemulihan (lawatan keluarga/ seliaan Parol) Negara, menjimatkan kos kerajaan, mengurangkan kesesakan di penjara dan mengukuhkan hubungan bilateral,” kata beliau. – MalaysiaGazette