Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban Mazalan Maarop

KUALA LUMPUR – Penyebaran rakaman suara antara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah satu helah lama yang diulang siar puluhan kali.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop berkata, beliau tidak nampak di mana salahnya rakaman suara itu, jauh sekali lagi menjejaskan keberadaan UMNO.

“Apa masalah dengan perbualan itu? Ada melanggar undang-undang? Ada menjual UMNO?

“Ada Anwar minta bungkuskan UMNO seperti bekas penasihat parti Bunga minta Datuk Seri Zahid bubarkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara mereka tular di media sosial sejak Rabu lalu.

Dalam audio berdurasi empat minit 17 saat itu, suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat selama 22 tahun.

Menurut Mazalan, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 dan bukannya giat bermain politik.

“Kami akar umbi ingin bertanya kepada PPBM, adakah anda semua tiada modal politik yang lain?

“Apabila menjadi kerajaan pemerintah seharusnya membuktikan kejayaan dengan mengurangkan kadar pengangguran, menarik masuk pelabur asing dan meningkatkan semula ekonomi.

“Itu adalah cara untuk menarik sokongan rakyat bukannya menabur fitnah kepada presiden UMNO dengan mengaitkannya bersama Datuk Seri Anwar konon Datuk Seri Zahid ingin menjual UMNO,” katanya.

Dalam situasi begini dapat dilihat PPBM sanggup melakukan helah politik kotor bagi mendepani PRU15 sekaligus dalam masa sama menanam api kebencian kepada UMNO.

“Apa yang dilakukan PPBM ini adalah kerana mereka mahu kekal berkuasa tambahan pula PPBM tidak memiliki kerusi Parlimen yang banyak untuk mempertahankan jawatan.

“Jadi, apa yang dapat dibuat adalah memfitnah Presiden UMNO dengan tujuan keahlian parti akan berpecah belah,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan rakaman suara itu digerakkan oleh PPBM melalui jurucakap-jurucakapnya yang giat menyerang dari dalam parti.

“Cukup-cukuplah PPBM. Kami tahu parti ini mahu mewujudkan UMNO 3.0 supaya dengan mudah mereka dapat memberi arahan kepada tali barut.

“Kami tetap dengan pendirian dan meyakini kepimpinan Presiden sedia ada iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Siapa yang mula-mula suruh Zahid letak jawatan, orang UMNO ke Bersatu. Tanya pada YB Ku Li dan Nazri, salah ke Zahid dan Anwar bersembang, sampai Zahid perlu berundur.

  2. BODOH rupanya orang UMNO Seremban ini, ISUNYA BELATUK DI BAGAN DATUK menafikan perbualan itu dan bukanlah beliau mempunyai SUARA itu….. bangang…
    Jadinya ahli UMNO lebih 3juta ingin tahu benarkah bukan BELATUK?
    Orang Seremban tahu bahasa Melayu Tak?

Comments are closed.