ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

KUANTAN – Cadangan menyediakan dua laluan masuk dan keluar bagi keselesaan pengunjung bazar Ramadan yang mempunyai barisan tapak niaga yan g panjang tanpa perlu berjalan terlalu jauh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, langkah itu juga bertujuan memberi pilihan kepada pengguna tanpa perlu berpusing balik ke arah laluan yang mereka masuk sebelum  ini.

Tinjauan MalaysiaGazette pada hari pertama Bazar Ramadhan Indera Mahkota 14 mendapati pengunjung mematuhi arahan dengan beratur dan mengambil normbor giliran.

Petugas Jabatan Sukarela Malaysia (RELA) mengawal pintu masuk untuk memastikan para pengunjung bazar mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kata Mohamad Noor, beliau berpuas hati melihat usaha dan pematuhan yang dilakukan oleh pihak penganjur yang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Hasil pemantauan tadi laluan bazar terlalu panjang sehingga pengunjung jadi tidak selesa kerana berjalan agak jauh, agak mustahil untuk membeli semua juadah.

“Laluan masih ditetapkan sehala kerana laluan masih sempit tetapi cadangan laluan keluar di tengah-tengah supaya ada dua pintu masuk dan keluar.

“Sekiranya belaku kluster baharu melibatkan kes positif Covid-19 di lokasi bazar, maka Bazar Ramadhan tidak dibenarkan beroperasi selama seminggu,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, bilangan laluan keluar masuk berdasarkan susunan dan bilangan kanopi serta jarak laluan di tapak bazar.

Sebanyak 25 lokasi bazar beroperasi di Kuantan pada tahun ini membabitkan 885 orang peniaga.

ACP Mohamad Noor Yusof Ali mengedar risalah “Bersama Mencegah Jenayah” kepada pengunjung bazar Ramadan.

Dalam pada itu, Mohamad Noor mengedarkan risalah ‘Bersama Mencegah Jenayah’ kepada pengunjung bagi menyampaikan maklumat tepat kepada komuniti.

“Jenayah bila-bila masa boleh berlaku sekiranya cuai leka, sebarang aduan boleh terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuantan 095142999,” katanya. – MalaysiaGazette