Gelagat pengunjung yang meredah hujan untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2021.
Seorang peniaga berdoa semasa hujan turun dengan lebat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Para peniaga bazar Ramadan diuji pada hari pertama mereka beroperasi selepas ibu negara dilanda hujan lebat dan angin kencang pada petang tadi.

Bazar Ramadan Kampung Baru yang terletak di Jalan Raja Alang menjadi salah satu lokasi yang terkesan akibat situasi tersebut.

Hujan lebat pada pukul 5 petang membantutkan sementara operasi perniagaan walaupun pada mulanya mereka kelihatan begitu bersemangat menyambut kedatangan pelanggan.

Kebanyakan peniaga terpaksa menurunkan kanopi separuh tiang bagi mengelak ia diterbangkan angin kencang berikutan strukturnya yang tidak kukuh.

Selain itu, mereka turut memasang plastik di sekeliling kanopi bagi menghalang makanan atau minuman yang dijual terkena tempias air.

Apabila hujan mulai reda, para pelanggan kembali memenuhi bazar untuk membeli juadah berbuka puasa.

Orang ramai memenuhi bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2021.

Lewat petang tadi, beberapa kawasan antaranya Wangsa Maju, Ampang, Cheras serta Kampung Baru dilanda hujan lebat serta angin kencang sehingga menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air. – MalaysiaGazette