logo polis
Gambar hiasan

KLANG – Seorang lelaki mengamuk dengan memecahkan barang-barang yang terdapat dalam rumah di Bandar Parklands, di sini, pada Ahad lalu apabila mengetahui isterinya mengadu kepada kakak ipar mengenai sikap beliau.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suami pengadu bertindak membuat bising akibat tidak berpuas hati terhadap perangai isterinya sebelum berlaku pertengkaran.

“Lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang naik angin bertindak memecahkan barang perkakasan komputer serta cawan.

“Isterinya yang bimbang melihat perbuatan suaminya itu segera menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, berikutan itu sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan lelaki terbabit dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

Menurut Shamsul Amar, soal siasat mendapati motif kejadian adalah disebabkan lelaki itu tidak berpuas hati dengan perangai isterinya yang mengadu mengenai sikapnyanya kepada kakak ipar.

“Lelaki berkenaan bagaimanapun telahpun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. -MalaysiaGazette