Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (tengah) beramah mesra bersama wakil-wakil penjaga rumah ibadat pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tapak Ganti Rumah Ibadat Bukan Islam Wilayah Persekutuan di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 115 kuil Hindu dan tokong telah dikenalpasti dibangunkan di atas tanah kerajaan secara tidak sah di sisi undang-undang.

Daripada baki 107 buah kuil dan tokong itu sebanyak 56 premis dikenalpasti memerlukan tindakan penyelesaian dengan pemindahan segera memandangkan tanah yang diduduki akan dibangunkan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar berkata, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) berpendapat bagi mengelak mereka terganggu, pegawai pejabat itu turut memberi nasihat kepada kuil dan tokong untuk mencari tanah gantian.

“Dalam usha itu kita berjaya menyelesaikan masalah tanah lapan kuil yang mana empat kuil telah diserahkan surat pendudukan tetap pada 22 Disember 2020 manakala empat lagi menerima surat hari ini sebagai hadiah bersempena Tahun Baru Tamil Sitthirai pada hari ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Santhara, kementeriannya telah mewujudkan Jawatankuasa Eksekutif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dipengerusikan beliau sendiri bagi menyelesaikan isu yang timbul.

Katanya, proses itu  sepatutnya mengambil masa kurang enam bulan untuk diselesaikan namun Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berjaya meluluskan surat pendudukan tetap dan tanah gantian untuk kuil-kuil berkenaan lebih awal.

Ujar beliau, selepas ini tanah-tanah itu akan dirizabkan sebagai tapak kekal RIBI dan akan menjadi hak milik tetap rumah kuol dan tokong terbabit.

Ditanya antara cabaran yang dihadapi pihaknya dalam menguruskan masalah RIBI atas tanah kerajaan, Santhara berkata, kuil dan tokong yang tidak mahu berbincang apabila diminta berbuat demikian.

“Masalah ini umpama orang yang mengadu sakit minta khidmat doktor, tetapi apabila doktor datang mengetuk pintu untuk merawat, dia tak mahu membuka pintu dan memberi kerjasama penuh,” ujarnya.

“Terdapat juga pengurusan kuil walaupun tahu dia duduk atas tanah haram tetapi bertegas tidak mahu berpindah dan menuntut tanah di tempat yang sama menjadi satu lagi masalah besar dan menyukarkan kementerian,” katanya sambil menambah ada rumah ibadat yang dibina untuk kepentingan diri dan keluarga sahaja yang dianggotai 10 ahli keluarga yang menuntut tanah ganti.

Jelas beliau keengganan pengurusan sesebuah kuil dan tokong haram itu bekerjasama dengan pemilik tanah untuk mencari penyelesaian mengakibatkan masalah tersebut berlarutan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.