Bayi yang ditemui di sebuah hospital swasta di Johor Bahru kini ditempatkan di HSA.

JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia kira-kira 14 hari ditinggalkan di luar pintu hospital swasta di Jalan Abdul Samad di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd ZainĀ  dalam kenyataannya memberitahu, bayi itu ditemui seorang penyambut tetamu yang sedang bertugas di lobi hospital berkenaan pada 8.45 malam.
Difahamkan, sebelum itu, pekerja berkenaan terdengar tangisan bayi lalu bertindak menjejakinya sebelum menjumpai bayi itu di pintu keluar hospital terbabit.
“Sejurus kejadian itu, pekerja tersebut memaklumkan penemuan bayi kepada ketua jururawat yang bertugas.
*Pemeriksaan oleh ketua jururawat mendapati bayi tersebut diletakkan di atas lantai, lengkap berpakaian serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
“Turut dijumpai pada bayi tersebut ialah satu tangkal dipercayai kepercayaan kaum Cina,” katanya.
Mohd Padzli berkata, bayi tersebutĀ  dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak untuk pemantauan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup hospital itu, terdapat seorang wanita yang sedang menggendong bayi dilihat berjalan di sekitar kawasan hospital namun tiada sebarang rakaman jelas di mana bayi berkenaan ditinggalkan.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi terus talian hotline Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Amy Dahlia Abdul Rahman di talian 014-6833881. – MalaysiaGazette