Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rata-rata pengunjung yang berkunjung ke Bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri, Cheras untuk membeli juadah berbuka puasa dilihat mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati terdapat tiga laluan masuk yang dikawal oleh anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan setiap pelanggan mengimbas kod MySejahtera masing-masing dan memeriksa suhu badan.

Bagaimanapun pengunjung perlu melalui laluan sama yang disediakan untuk keluar dari bazar tersebut yang hanya dipisahkan dengan sebuah khemah.

Keadaan di dalam bazar juga tidak terlalu sesak kerana adanya penjarakan antara setiap satu gerai.

Seorang pengunjung, Maizatul Dura Azmi, 41, berkata, dia berpuas hati dengan SOP di bazar tersebut walaupun ada segelintir pelanggan yang dilihat lalai dalam menjaga penjarakan fizikal.

Maizatul Dura Azmi

“Ada juga kita tengok pelanggan yang serbu satu-satu gerai sampai terlupa nak jaga jarak.

“Kalau ikutkan lebih baik hadkan pengunjung dalam kawasan bazar supaya tidak menjadi sesak lebih-lebih ketika hari semakin lewat antara pukul 6 petang dan ke atas,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Ima Hassan, 50, berkata, dia memilih untuk datang awal ke bazar Ramadan supaya dapat mengelakkan kesesakan antara pengunjung.

Ima Hassan

“Bukan apa ketika wabak Covid-19 ini risau untuk berlama-lama di luar rumah. Habis sahaja membeli juadah terus saya pulang.

“Sekarang ini pun sering hujan pada waktu petang, jika terlambat pergi ke bazar mungkin terpaksa bersesak dengan pelanggan lain yang baru pulang dari bekerja,” katanya.

Terdahulu menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kepada pengunjung bazar Ramadan.

Menurut Acryl Sani, peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengunjung premis mereka mematuhi SOP ketika urus niaga dijalankan. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast